
KUALA LUMPUR, 25 April – Langkah kerajaan melaksanakan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) selama tiga hari seminggu dilihat selari dengan dapatan kajian antarabangsa yang menekankan keseimbangan antara produktiviti dan fleksibiliti pekerjaan.
- Tiga hari bekerja dari rumah dianggap tempoh optimum tanpa menjejaskan prestasi kerja; melebihi itu boleh beri kesan negatif.
- Pelaksanaan perlu disertakan langkah kawalan sesuai bagi memastikan prestasi dan kualiti kerja.
- Kepercayaan antara majikan dan pekerja tunjang pelaksanaan sistem kerja fleksibel, meningkatkan kreativiti, motivasi, dan mengurangkan risiko keletihan.
Pensyarah (Pengurusan) Fakulti Sains, Pengurusan dan Komputer, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Dr Mohd Herry Bahador berkata, kajian oleh National Bureau of Economic Research mendapati tempoh tiga hari bekerja dari rumah adalah paling optimum tanpa menjejaskan prestasi pekerja.
“Tiga hari itu merupakan tempoh yang paling sesuai untuk bekerja dari rumah. Jika melebihi tempoh tersebut, ia berpotensi memberi kesan negatif.
“Jadi, tiga hari boleh dianggap sebagai kadar yang optimum kerana tidak menjejaskan prestasi kerja. Namun begitu, seperti yang saya nyatakan tadi, pelaksanaannya perlu disertakan dengan langkah kawalan yang sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.
Kepercayaan antara majikan dan pekerja menjadi tunjang utama dalam memastikan pelaksanaan sistem kerja fleksibel berjalan secara berkesan dan mampan.
Kelonggaran yang diberikan bukan sahaja merangsang kreativiti, malah turut meningkatkan motivasi kerja serta membantu mengurangkan risiko keletihan melampau, sekali gus mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat, produktif dan seimbang.