Kampung Angkat MADANI ubah wajah Kampung Padang Mahligai

Dr Mohamed Taufiq Johari

KUALA MUDA, 12 April Kampung Padang Mahligai, Sidam Kiri di Sungai Petani, kini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan awam yang selesa, selepas dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI pada Disember tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif MADANI bertujuan merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar serta memperkasakan kesejahteraan penduduk setempat.
  • Pelaksanaan merangkumi pembinaan dewan baharu, penyelenggaraan longkang, naik taraf surau, pintu gerbang dan pemasangan lampu solar.
  • Projek memberi limpahan pembangunan kepada kampung sekitar, meningkatkan kemudahan dan manfaat kepada komuniti berdekatan.
  • Penduduk bersyukur; dewan terbuka, lampu jalan dan jalan yang baik menjadikan kampung lebih ceria, selamat dan tersusun.

Sejak itu pelbagai projek pembangunan dan kemasyarakatan dibangunkan bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk menerusi peruntukan yang diterima sebanyak RM1.1 juta.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohamed Taufiq Johari, inisiatif yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bertujuan merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar, di samping memastikan kesejahteraan penduduk setempat terus diperkasa.

“Pelaksanaan projek ini bukan sahaja memberi kemudahan lebih baik kepada penduduk, malah turut menceriakan suasana kampung, khususnya dengan pemasangan lampu solar yang meningkatkan tahap keselamatan dan kualiti hidup penduduk,” jelas Ahli Parlimen Sungai Petani itu.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kampung Padang Mahligai sebagai Kampung Angkat MADANI di Sidam Kiri, di sini.

Peruntukan yang diterima telah digunakan untuk menaik taraf kemudahan asas termasuk pembinaan dewan baharu, penyelenggaraan longkang, naik taraf surau, pembinaan pintu gerbang serta pemasangan lampu solar di kawasan kampung tersebut.

Pelaksanaan inisiatif itu turut memberi manfaat kepada kampung-kampung sekitar kawasan berkenaan.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Kedah, Datuk Zepri Saad.

Sementara itu penduduk Kampung Padang Mahligai, Sidam Kiri Azhar Ramli melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas pelaksanaan pelbagai kemudahan baharu termasuk pembinaan dewan terbuka yang telah lama dinantikan.

Pembinaan dewan terbuka itu memberi manfaat besar kepada seluruh komuniti kampung yang sebelum ini tidak mempunyai kemudahan seumpamanya.

“Dengan adanya dewan ini, semua aktiviti penduduk kampung, sama ada golongan muda atau tua, dapat dilaksanakan secara berpusat dan lebih tersusun,” katanya.

Bagi seorang lagi penduduk, Nur Hanim Hashim banyak perubahan positif dapat dilihat di kampung berkenaan termasuk naik taraf kemudahan asas seperti lampu jalan yang sebelum ini tidak tersedia.

“Banyak perubahan berlaku sejak kebelakangan ini. Kini kampung kami lebih baik dengan adanya kemudahan seperti dewan dan lampu jalan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Rohaida Hashim turut berkongsi rasa puas hati terhadap kemudahan yang disediakan termasuk keadaan jalan kampung yang lebih baik serta suasana kampung yang lebih ceria dan selamat.

“Alhamdulillah, kami sangat berpuas hati dengan kemudahan yang ada sekarang. Jalan sudah kemas, lampu jalan pun ada, kampung pun lebih ceria,” katanya.

Penduduk berharap segala kemudahan yang disediakan dapat terus dipelihara dan ditambah baik bagi memastikan kesejahteraan komuniti setempat sentiasa terjamin.