PADANG RENGAS, 22 November - Kampung Padang Asam di sini dipilih Kampung Angkat Jabatan Kastam di bawah Program Kampung Angkat MADANI melibatkan peruntukan RM1.12 juta.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata peruntukan meliputi RM300,000 bagi pelaksanaan program kemasyarakatan, serta RM820,000 untuk pembinaan 10 projek infrastruktur asas.
"Di Masjid Al-Khairiyah pula, tiga projek disiapkan menerusi peruntukan RM190,000, termasuk menaik taraf tangki simpanan air telaga, bilik mandi, kawasan parkir berbumbung serta kemudahan kabin bagi aktiviti ekonomi.
"Manakala, di Sekolah Kebangsaan Padang Asam, dua projek melibatkan kerja menaik taraf serta membaik pulih enam bilik darjah, dengan kos RM153,000.
"Dan, Sekolah Rendah Agama Rakyat Kampung Padang Asam menerima peruntukan RM44,000 bagi projek pembaikan bangunan sekolah,"katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan dan Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI JKDM 2025.
Penghargaan turut diberi kepada Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Kangsar, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, serta GIATMARA sebagai agensi pelaksana yang memastikan kesemua projek berjaya disempurnakan.
