fb fb fb fb fb

Kaji semula cadangan sebat di khalayak, menjatuhkan maruah pesalah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 April- Cadangan Kerajaan Negeri Terengganu untuk melaksanakan hukuman sebat di khalayak ramai membabitkan pesalah syariah di negeri itu, perlu teliti secara menyeluruh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, peruntukan dalam akta, enakmen dan ordinan jenayah syariah di peringkat negeri adalah bidang kuasa kerajaan negeri, namun perkara ini perlu dipertimbangkan bagi menjaga maruah orang yang dihukum.

"Kita perlu lihat falsafah hukuman. Hukuman ini berperanan mendidik, dalam masa yang sama bagaimana kita hendak mengimbangi hikmah untuk menjaga maruah orang yang kita hendak hukum.

"Jadi, perkara inilah yang perlu dipertimbangkan, sama ada di Negeri Terengganu, dalam konteks saya sudah sebut secara jelas bagaimana hukuman sebatan itu hendak dibuat. Itu terletak pada budi bicara Hakim", katanya kepada media pada majlis Rahmah Syawal Jalinan Aidilfitri Bersama Asnaf anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Dewan Perdana FELDA, Kuala Lumpur.

Menurutnya, di peringkat Kerajaan Persekutuan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sudah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) hukuman sebatan syariah bagi menyeragamkan hukuman sebatan yang dijalankan di semua negeri sejak 2021.

Berdasarkan SOP tersebut, terdapat arahan amalan agar hukuman sebatan tersebut dilakukan di dalam mahkamah. Namun, keputusan untuk mengikuti arahan terbabit atau sebaliknya adalah bergantung kepada hakim tersebut.

Terdahulu, Datuk Naim turut meraikan 600 asnaf terpilih dengan menyampaikan bantuan Aidilfitri daripada MAIWP, iaitu sumbangan bernilai RM350 seorang untuk 400 asnaf dewasa, manakala 200 orang kanak-kanak menerima duit raya RM50 seorang.

ROSLINA BINTI DIN