fb fb fb fb fb

Kabinet dimaklum ringkas isu pelantikan Ketua Hakim Negara

Datuk Fahmi Fadzil.

PUTRAJAYA, 2 Julai – Isu pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu ada disentuh dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, namun tidak dibincangkan secara mendalam.

Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat hanya mengambil maklum penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah disampaikan sebelum ini dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, Isnin lalu.

“Tiada perbincangan khusus atau mendalam. Hanya dimaklumkan semula kenyataan yang telah dibuat oleh Perdana Menteri Isnin lalu. Itu sahaja,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan media berhubung sama ada isu pelantikan Ketua Hakim Negara menjadi antara agenda rasmi mesyuarat Kabinet hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri menegaskan beliau tidak pernah mencampuri urusan pelantikan atau lanjutan kontrak hakim, sebaliknya menghormati sepenuhnya proses yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga menolak dakwaan wujud pengaruh politik dalam keputusan berkaitan badan kehakiman dan menekankan bahawa semua pelantikan mesti melalui prosedur sedia ada.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN