fb fb fb fb fb

Jururawat terlatih warga asing, hanya yang berkualiti jadi pilihan

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni

PUTRAJAYA, 12 Mei - Kementerian Kesihatan (KKM) akan memastikan hanya jururawat terlatih warga asing yang berkualiti dibenarkan masuk bagi menampung keperluan dalam negara.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata setakat Oktober lepas, hanya 101 jururawat asing melepasi saringan ditetapkan KKM.

Beliau berkata, setakat ini negara sumber bagi tujuan berkenaan adalah India, Sri Lanka, Filipina dan Indonesia.

"Bukan satu jumlah besar kerana kita tetapkan syarat yang ketat dalam pengambilan kerana kita tidak mahu jururawat yang tidak berkualiti. Jadi diperingkat KKM, kita akan pantau perkara ini dengan teliti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa 2024, di sini.

Terdahulu dalam ucapannya, Lukanisman berkata negara menyediakan hampir 139,000 tenaga kerja dalam bidang kejururawatan dimana hampir 75,000 daripadanya di bawah KKM manakala selebihnya dalam sektor swasta.

Dalam perkembangan lain, Lukanisman berkata KKM akan mengeluarkan kenyataan mengenai vaksin AstraZeneca selewatnya minggu depan.

Katanya, KKM sedang mengesan dan mengkaji kesan vaksin berkenaan dan individu terkesan sekiranya ada.

Jelasnya, pihaknya akan mengumumkan dengan terperinci mengenai isu tersebut untuk kepentingan awam.

"Sekiranya ada kesan sampingan terhadap penerima vaksin ini, fasiliti KKM sememangnya bersedia menerima dan kajian dilakukan berkenaan perkara tersebut. Jadi kita tunggu KKM untuk umumkan sesuatu mengenai kaedah ini," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN