SEPANG, 9 Julai- Jumlah penerbangan mingguan dari China ke Kuala Lumpur mencecah 438 penerbangan dan dijangka terus meningkat tahun ini.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, P. Manoharan berkata angka itu lebih tinggi berbanding sebelum tempoh pandemik COVID-19 iaitu sekitar 370 penerbangan.
"Dengan kapasiti tempat duduk lebih daripada 100,000. Jadi, kami percaya ada lebih banyak lagi syarikat-syarikat penerbangan khususnya dari negara China yang membuat penerbangan terus ke Malaysia."
"Jadi, kami berharap dapatlah mencapai sasaran dan bekerjasama dengan syarikat penerbangan dan juga industri pelancongan di negara China," kata P. Manoharan kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Penerbangan Sulung Qingdao Airlines ke Kuala Lumpur.
Menurut beliau, pengecualian visa kepada pelancong China juga menjadi salah satu tarikan utama kepada mereka untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan.
Pembukaan laluan terus dari Qingdao pula dijangka membawa masuk 30,000 penumpang sepanjang tahun ke Malaysia.