fb fb fb fb fb

Jumlah penduduk terjejas banjir di Johor, Pahang, Melaka semakin berkurang

KUALA LUMPUR, 10 Januari - Situasi banjir semakin bertambah baik di Melaka, Pahang dan Johor apabila bilangan penduduk terjejas banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) terus berkurangan pagi ini.

Di MELAKA, jumlah yang terkesan banjir turun kepada 261 orang daripada 72 keluarga berbanding 341 mangsa daripada 91 keluarga pagi semalam , dengan semuanya masih ditempatkan di tiga PPS di Jasin.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) melaporkan jumlah penduduk terkesan juga berkurang kepada 105 orang berbanding 292 orang petang semalam.

Kesemua mangsa daripada 25 keluarga itu ditempatkan di lapan PPS dengan Pekan mencatatkan jumlah paling ramai.

Di JOHOR, banjir semakin surut dengan jumlah yang berada di PPS menurun kepada 3,075 setakat pukul 10.00 pagi tadi berbanding 3,441 orang petang semalam.

Kesemua mereka masih ditempatkan di 40 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di empat daerah di Johor.

Segamat kekal dengan jumlah penduduk terjejas paling ramai dengan 1,246 orang daripada 336 keluarga di 19 PPS.

Media Baharu