fb fb fb fb fb

Jualan MADANI Koperasi: 90,000 rakyat terima manfaat penjimatan kos sara hidup

Program Jualan Madani Koperasi dan Usahawan Sempena Aidiladha di Sungai Buloh.

SUNGAI BULOH, 9 Jun - Lebih 90,000 rakyat menerima manfaat penjimatan kos sara hidup menerusi penganjuran 36 siri Jualan MADANI Koperasi, (JMK) bagi tempoh Januari sehingga 7 Jun tahun ini.

Program turut merekodkan jumlah jualan melebihi RM3.6 juta dalam tempoh sama.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan, berkata pihaknya komited untuk terus memperluas penganjuran program berkenaan.

"Ini bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat, menerusi penawaran diskaun harga barangan lebih rendah berbanding pasaran.

"Memang jualan MADANI ini berlaku serentak di banyak tempat bukan satu tempat, satu kali kali sahaja. Saya harap jualan MADANI ini akan disambung oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) secara besar-besaran seperti ini di seluruh negara," katanya ketika ditemui media pada Program Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan Sempena Aidiladha di sini, hari ini.

Program anjuran KUSKOP melalui JKM itu menawarkan sehingga 50 peratus diskaun lebih rendah untuk barangan keperluan asas harian.

Turut diserahkan, sumbangan Tabung bantuan Kecemasan Koperasi bernilai RM197,000 bagi membantu keoperasi terjejas bencana alam.

GRACE AISYAH KEDAYAN