fb fb fb fb fb

JPJ Perlis lancar operasi khas kenderaan Thailand

FOTO JPJ Perlis

KANGAR, 28 April- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis akan melaksanakan Operasi Khas Pemandu Warga Asing atau OPS PeWA secara berterusan dan berfokus selama sebulan, berkuatkuasa mulai 1 Mei ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah dalam kenyataannya memaklumkan, ini susulan pelbagai aduan daripada orang ramai khususnya para penduduk dan pemandu kenderaan di sekitar daerah Padang Besar berkaitan kebanjiran pemandu warga Thailand yang memandu secara melulu dan berbahaya di jalan utama di negeri ini terutamanya kenderaan jenis pikap.

"Hasil siasatan pihak JPJ Perlis mendapati, kebanyakan pemandu pikap daripada Thailand ini memandu dengan laju kerana mengejar trip untuk berulang alik membawa barang dagangan daripada Malaysia ke Thailand.

Selain itu, JPJ Perlis juga menyasarkan van-van Thailand yang menjalankan perkhidmatan persiaran membawa pelancong Thailand ke Malaysia dan sebaliknya.

Tindakan tegas mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) dan Kaedah Pengangkutan Jalan 1987 akan dilaksanakan kepada pemandu kenderaan asing ini.

Seramai 35 orang pegawai dan anggota penguat kuasa JPJ Perlis telah diatur gerak untuk melaksanakan operasi ini termasuklah anggota penguat kuasa JPJ yang ditempatkan di Stesen Kawalan Sempadan (SKS) Padang Besar dan Wang Kelian.

ROSLINA BINTI DIN