JPJ Negeri Sembilan bakal bina kompleks baharu kos RM140 juta

Foto RTM

SEREMBAN, 11 Jun – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan bakal memiliki kompleks baharu bernilai RM140 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang akan dibangunkan di tapak sedia ada di Senawang, sekali gus memperkukuh lagi kemudahan perkhidmatan agensi itu di negeri berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • JPJ Cawangan Nilai dibuka, kos RM1.7 juta, menggambarkan penggunaan bangunan sedia ada tanpa bina baru.
  • Pejabat hampir 9,000 kaki persegi mula beroperasi, manfaatkan kira-kira 120,000 penduduk Nilai dan kawasan berhampiran.
  • Cawangan menampilkan konsep moden mesra pelanggan: kiosk layan diri, ruang menunggu selesa dan akses mesra OKU, tiada penghadang kaca.
  • Kutipan hasil JPJ Negeri Sembilan 2025 mencecah RM131 juta, rekod tertinggi negeri itu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, bangunan sedia ada akan dirobohkan selepas operasi dipindahkan sepenuhnya ke pejabat sementara di Era Walk Terminal 2 Seremban yang dijangka digunakan tahun depan.

“Projek ini telah diluluskan di bawah RMK13 dan akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia. Kita akan sediakan dahulu pejabat sementara sebelum pembinaan kompleks baharu dimulakan,” katanya.

Beliau berkata kerja ubah suai pejabat sementara itu dijangka mengambil masa enam hingga lapan bulan sebelum boleh beroperasi sepenuhnya, sebagai langkah memastikan kelancaran perkhidmatan kepada orang awam.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata pembukaan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia Cawangan Nilai yang menelan kos RM1.7 juta mencerminkan pendekatan kerajaan mengoptimumkan penggunaan bangunan sedia ada tanpa perlu membina fasiliti baharu sepenuhnya.

Pejabat seluas hampir 9,000 kaki persegi itu mula beroperasi Isnin lalu di ruang milik Majlis Bandaraya Seremban dan dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 120,000 penduduk sekitar Nilai serta kawasan berhampiran termasuk Bangi, Putrajaya, Bandar Baru Sendayan, Salak Tinggi dan Sepang.

Cawangan baharu itu turut menampilkan konsep moden dan mesra pelanggan dengan kemudahan digital seperti kiosk layan diri, ruang menunggu lebih selesa serta akses mesra orang kurang upaya (OKU).

Anthony berkata, konsep pejabat tanpa penghadang kaca antara petugas dan pelanggan turut diperkenalkan bagi mewujudkan perkhidmatan lebih terbuka dan mesra.

“Kini kita pecahkan tembok itu, tiada lagi penghadang kaca antara pelanggan dan petugas. Urusan lebih bersemuka, lebih terbuka dan pelanggan tidak lagi merasakan wujud jurang dengan petugas kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan JPJ Cawangan Nilai, di sini, hari ini.

Beliau menambah, konsep pejabat JPJ moden seperti itu akan diperluaskan secara berperingkat ke seluruh negara termasuk Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Seramai 24 kakitangan ditempatkan di cawangan berkenaan dengan menggunakan sumber sedia ada dari JPJ Seremban, manakala pengambilan baharu akan dipertimbangkan bagi keperluan jangka panjang.

Sementara itu, Anthony turut memaklumkan kutipan hasil JPJ Negeri Sembilan bagi tahun 2025 mencecah RM131 juta, rekod tertinggi yang pernah dicatat di negeri itu.

Selepas majlis perasmian, beliau turut melawat operasi JPJ Cawangan Nilai bersama kepimpinan kementerian, JPJ serta ketua-ketua jabatan negeri.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.