PUTRAJAYA, 26 November – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengiktiraf media sebagai rakan strategik dalam memacu keselamatan jalan raya dan membina imej positif jabatan.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata tanpa sokongan padu media, JPJ tidak mampu menyampaikan dasar dan inisiatif secara tepat kepada rakyat.
"JPJ tidak boleh bergerak sendiri tanpa bantuan media. Kita tidak akan berada pada tahap ini tanpa sokongan dan kerjasama berterusan yang diberikan," katanya.
Beliau turut mendedahkan, laporan dan liputan media terhadap program serta operasi JPJ bukan sahaja melebihi 10 laporan sebulan, malah menjadi bukti komitmen media dalam memastikan maklumat yang disampaikan adalah benar, sahih, dan mudah difahami.
Sehubungan itu, Datuk Aedy Fadly menyifatkan kerjasama strategik antara JPJ dan media bukan sekadar menyampaikan statistik, tetapi juga membantu membentuk persepsi positif terhadap usaha penguatkuasaan dan pendidikan jalan raya.
"Media bukan sekadar penyampai maklumat, tetapi rakan strategik yang membentuk pemahaman rakyat mengenai tindakan JPJ. Tanpa kerjasama ini, usaha edukasi, keselamatan, dan budaya jalan raya tidak akan memberi impak besar," tegasnya lagi.
Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Media JPJ 2025 di sini.
Majlis julung kali itu menghimpunkan kira-kira 300 wakil media daripada pelbagai organisasi seluruh negara.
Pada majlis berkenaan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) diumumkan sebagai penerima Anugerah Liputan Berita Terbaik, sekali gus menerima sijil dan wang tunai RM300.
Dalam perkembangan lain, Datuk Aedy Fadly mengumumkan penglibatan penuh rakan media pada sambutan besar-besaran bersempena ulang tahun ke-80 JPJ pada Mei tahun depan.
JPJ menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama dengan media agar mesej keselamatan jalan raya dapat disampaikan secara lebih meluas kepada seluruh rakyat Malaysia.