JPJ buka bidaan nombor pendaftaran istimewa “FH”

Bidaan nombor pendaftaran istimewa “FH” dibuka bersempena Hari Wilayah Persekutuan 2026/Foto RTM

PUTRAJAYA, 30 Januari – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan nombor pendaftaran istimewa (NPI) dengan tanda indeks “FH” bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026 menerusi bidaan dalam talian kepada orang awam melalui sistem JPJeBid.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bidaan NPI tanda indeks FH dibuka 1 hingga 5 Februari 2026 melalui sistem JPJeBid.
  • Melibatkan nombor FH1 hingga FH999 dengan keputusan diumumkan 6 Februari 2026.
  • Harga minimum mengikut kategori: utama RM20,000; premium RM5,000; menarik RM2,500; popular RM500; biasa RM300.
  • Nombor berjaya mesti didaftarkan pada kenderaan dalam tempoh 12 bulan mengikut terma JPJeBid.

Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, bidaan bagi nombor pendaftaran khas itu akan dibuka bermula 1 Februari 2026 (Ahad) pada pukul 12.30 tengah malam hingga 5 Februari 2026 (Khamis) pukul 10 malam, melibatkan nombor FH1 hingga FH999.

Keputusan bidaan akan diumumkan pada 6 Februari 2026.

“Pengenalan NPI FH adalah signifikan sebagai simbol memperingati penubuhan Wilayah Persekutuan Putrajaya, selain menghargai sumbangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dalam pembangunan negara.

“Harga minimum bidaan ditetapkan mengikut kategori iaitu Nombor bernilai utama RM20,000, Nombor premium RM5,000, Nombor menarik RM2,500, nombor popular RM500 dan Nombor biasa bermula RM300.”

Beliau berkata demikian pada sidang media Nombor Pendaftaran Istimewa Bersempena Hari Wilayah yang berlangsung di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Perbadanan Putrajaya, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa semua bidaan tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan dalam sistem JPJeBid, dan mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida perlu didaftarkan kepada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh surat keputusan rasmi dikeluarkan.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan orang ramai menyertai bidaan NPI FH bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026 serta Putrajaya Open Day yang berlangsung selama empat hari di Putrajaya minggu ini.