
PUTRAJAYA, 30 Januari –Penguatkuasaan berasaskan teknologi diperkukuh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kebergantungan kepada sekatan jalan raya fizikal.
- JPJ meneliti penggunaan sistem ANPR untuk pengesanan kenderaan tanpa pemerhentian bagi penguatkuasaan lebih pantas dan menyeluruh.
- Perbincangan sedang dijalankan dengan PLUS dan pengendali lebuh raya lain untuk pengintegrasian data plaza tol di seluruh negara.
- Pelaksanaan ANPR memerlukan penyelarasan agensi serta kos tinggi, jadi ia akan dilaksanakan secara berperingkat.
- Penggunaan kamera badan diperluas; 100 unit digunakan, tambahan 300–500 dirancang, keberkesanan dinilai dalam tiga hingga empat bulan.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, langkah itu dipergiat selaras arahan Menteri Pengangkutan baru-baru ini untuk meneliti penggunaan sistem Automatic Number Plate Recognition (ANPR).
“JPJ kini mengadakan perbincangan dengan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) serta beberapa pengendali lebuh raya lain bagi membolehkan pengintegrasian data, terutama melalui sistem di plaza tol di seluruh negara.
Pelaksanaan ini memerlukan penyelarasan antara agensi serta kos yang tinggi, justeru ia akan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Nombor Pendaftaran Istimewa bersempena Hari Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.
Jelas Datuk Aedy, sistem ANPR membolehkan pemantauan dan pengesanan kenderaan dilakukan tanpa perlu memberhentikan pengguna jalan raya.
Ia mampu menjadikan penguatkuasaan lebih pantas, tepat dan menyeluruh, khususnya dalam mengesan pelanggaran undang-undang secara masa nyata.
Dalam usaha menyokong penguatkuasaan digital, JPJ turut memperluas penggunaan kamera badan bagi meningkatkan ketelusan dan integriti operasi di lapangan.
Menurut Datuk Aedy, setakat ini, 100 unit kamera badan telah digunakan sepenuhnya sejak November lalu, dengan perancangan menambah 300 hingga 500 unit lagi tahun ini.
“Penilaian keberkesanan kamera badan itu akan dibuat dalam tempoh tiga hingga empat bulan.
Maklum balas awal menunjukkan kesan positif terhadap pematuhan prosedur dan keyakinan orang awam,” katanya lagi.