JKDM rekod kutipan hasil RM76.18 bilion tahun 2025

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 9 Januari – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan kutipan hasil berjumlah RM76.18 bilion sepanjang tahun lalu, iaitu lebihan RM8.93 bilion berbanding unjuran awal yang ditetapkan Kementerian Kewangan (MOF) RM67.25 bilion.

RINGKASAN BERITA AI
  • JKDM merekodkan kutipan hasil tertinggi RM76.18 bilion bagi 2025, menunjukkan peningkatan berterusan.
  • Pencapaian melebihi unjuran Kementerian Kewangan sebanyak RM8.93 bilion.
  • Kutipan 2025 meningkat RM10.16 bilion atau 16.18 peratus berbanding 2024.
  • Kenaikan berterusan sejak 2022 dengan lonjakan ketara pada 2024 kepada RM65.57 bilion.
  • Prestasi 2022–2025 memperlihatkan trend peningkatan konsisten dan berimpak tinggi.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin, berkata pencapaian itu merupakan kutipan tertinggi bagi tempoh 2022 hingga 2025 dengan peningkatan sebanyak RM10.51 bilion berbanding kutipan tahun sebelumnya.

“Pada tahun 2022, JKDM merekodkan kutipan hasil sebanyak RM52.93 bilion. Prestasi ini seterusnya meningkat pada tahun 2023 kepada RM55.17 bilon iaitu pertambahan sebanyak RM2.24 bilion atau 4.23 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Momentum pertumbuhan ini diperkukuh pada tahun 2024 apabila kutipan hasil melonjak ketara kepada RM65.57 bilion dengan pertambahan sebanyak RM10.40 bilion (18.85 peratus) berbanding 2023.

“Trend peningkatan berimpak tinggi ini diteruskan pada tahun 2025 apabila kutipan hasil mencatatkan paras tertinggi iaitu RM76.18 bilion dengan peningkatan sebanyak RM10.16 bilion atau bersamaan 16.18 peratus berbanding tahun 2024.

Datuk Anis Rizana berkata demikian dalam satu sidang media Kejayaan JKDM dalam Kutipan Hasil dan Kes Penguatkuasaan sepanjang 2025 di Ibu Pejabat JKDM, Putrajaya.

Prestasi kutipan hasil JKDM secara keseluruhannya memperlihatkan trend peningkatan yang konsisten dan berimpak tinggi bagi tempoh 2022 hingga 2025.