fb fb fb fb fb

Jimat RM1 bilion setahun hapus subsidi telur

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 3 MEI - Langkah pemansuhan dan pengurangan subsidi telur dijangka dapat menjimatkan kerajaan lebih RM1 bilion setahun.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mustazar Mansur berkata, penjimatan itu dilihat sebagai satu peluang untuk kerajaan menyalurkan bantuan dengan lebih bersasar.

"Pengurangan subsidi itu dapat memastikan golongan sasaran menerima manfaat secara langsung, sekali gus meningkatkan kuasa beli dan pendapatan yang membolehkan mereka memenuhi keperluan asas." katanya.

Ini sejajar dengan pendekatan dalam Belanjawan 2025, yang menyaksikan peningkatan jumlah maksimum Sumbangan Tunai Rahmah (STR) daripada RM3,700 kepada RM4,600 bagi setiap isi rumah.

Mengulas mengenai kesan pemansuhan subsidi telur terhadap harga pasaran, Dr Mustazar menjelaskan bahawa ayam dan telur merupakan barangan keperluan dalam pasaran .

"Sebarang perubahan subsidi pasti memberi sedikit kesan kepada pasaran, namun pasaran ayam dan telur adalah pasaran yang bersifat "pasangan sempurna", iaitu harga ditentukan oleh penawaran dan permintaan." tambahnya lagi.

Jelas beliau, inisiatif kerajaan dalam menyediakan jualan Rahmah perlu diperluas bagi membantu keluarga berpendapatan rendah dapat membeli ayam dan telur pada harga berpatutan.

Selain itu, langkah mengimport ayam dan telur dari negara yang menawarkan kos lebih rendah turut wajar dipertimbangkan bagi menambah bekalan dan menstabilkan harga di pasaran tempatan

Bermula 1 Mei lalu kadar subsidi telur ayam dikurangkan kepada lima sen daripada 10 sen sebelum ditamatkan sepenuhnya mulai 1 Ogos .

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN