Jerebu: Pemantauan kes URTI, konjunktivitis di Sarawak dipertingkat

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib / Foto RTM

SIBU, 1 September – Pemantauan kes jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) dan konjunktivitis di Sarawak dipertingkat susulan lonjakan laporan kedua-dua penyakit itu selepas beberapa kawasan di negeri berkenaan terjejas jerebu.

RINGKASAN BERITA AI
  • 15 fasiliti kesihatan terpilih dijadikan pusat pemantauan kes berkaitan jerebu.
  • Pemantauan menunjukkan purata kes URTI meningkat, konjunktivitis naik, manakala kes asma kekal stabil.
  • KKM memperkukuh perkhidmatan perubatan dengan memastikan bekalan ubat, peralatan dan anggota kesihatan mencukupi.
  • Orang ramai dinasihat mengurangkan aktiviti fizikal di luar, guna pelitup muka sesuai dan memastikan pengambilan air mencukupi.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, langkah itu dibuat menerusi 15 fasiliti kesihatan terpilih yang dijadikan pusat pemantauan kes berkaitan jerebu.

Menurutnya, langkah itu penting bagi mengesan sebarang perubahan trend penyakit dengan lebih awal dan membolehkan tindakan kesihatan awam dilaksanakan segera.

“Berdasarkan pemantauan Jabatan Kesihatan Negeri, purata kes URTI meningkat daripada 1,717 kes seminggu pada awal tahun kepada 1,752 kes seminggu sejak kebelakangan ini.

“Manakala konjunktivitis naik daripada 17 kepada 21 kes seminggu, sementara kes asma kekal stabil,” katanya.

Beliau ditemui ketika mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Jalan Oya sempena Jelajah Kesihatan Borneo Siri 4, di sini, yang turut bertujuan meninjau kesiapsiagaan KKM menangani jerebu.

Datuk Hanifah turut memaklumkan, kementeriannya memperkukuh perkhidmatan perubatan, selain memastikan bekalan ubat, peralatan dan anggota kesihatan mencukupi.

Pada masa sama, mempergiat pendidikan kesihatan kepada orang awam, terutama golongan berisiko tinggi.

“Orang ramai dinasihat mengurangkan aktiviti fizikal di luar bangunan.

“Guna pelitup muka yang sesuai dan memastikan pengambilan air mencukupi,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.