
KUALA LUMPUR, 1 September – Projek Routes & Roots membawa misi mengetengahkan kepelbagaian budaya, makanan dan tradisi Malaysia menerusi pengembaraan selama 16 hari merentasi Semenanjung tanah air.
- Kolaborasi dengan Tourism Malaysia untuk menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026-2027 melalui kandungan digital.
- Empat pencipta kandungan dari Malaysia, India, Filipina dan Indonesia meneroka budaya serta makanan tempatan.
- Pengalaman mereka diharap memberi perspektif baharu kepada penonton luar tentang keharmonian budaya negara.
- Routes & Roots merancang pengembaraan ke Malaysia Timur tahun depan, bermula dengan Sarawak.
Pengembaraan itu disertai empat pencipta kandungan termasuk Wayne Phoo dari Malaysia, Yash Rane (India), Daniel Marsh (Filipina) dan Phopira (Indonesia).
Pengasas projek, Sangeet Singh berkata, projek berkenaan merupakan kolaborasi bersama Tourism Malaysia bersempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026-2027.
Langkah itu bertujuan menyokong usaha mempromosikan tarikan negara menerusi kandungan digital.
“Malaysia mempunyai pelbagai bangsa, agama dan budaya, tetapi yang penting setiap negeri yang kita kunjungi mempunyai banyak perbezaan.
“Kita mempunyai makanan, budaya dan tradisi yang tersendiri. Jadi, kita mahu orang luar tahu apa yang kita banggakan mengenai Malaysia dan mengapa mereka patut datang melawat negara ini,” katanya kepada RTM.
Jelas beliau lagi, pengembaraan berkenaan cukup bermakna khususnya buat Yash dan Phopira yang pertama kali meneroka negara ini secara lebih menyeluruh.
Pengalaman sepanjang pengembaraan diharap dapat diterjemah dalam bentuk kandungan yang memberi perspektif berbeza kepada penonton luar mengenai keistimewaan negara ini.
“Harapan saya besar, iaitu untuk orang memahami negara kita dengan lebih mendalam. Saya rasa Malaysia antara negara yang mempunyai budaya yang sangat harmoni,” katanya.
Mengulas perancangan seterusnya, Sangeet berkata, Routes & Roots menyasarkan untuk meneroka Malaysia Timur tahun depan dengan Sarawak sebagai destinasi pertama.