Pemisahan kuasa penting untuk perkukuh pengurusan pelaburan TH

Foto Fail TH

KUALA LUMPUR, 1 September – Pemisahan kuasa yang jelas pada setiap peringkat pembuatan keputusan berhubung pelaburan perlu diutamakan dalam usaha memperkukuh aspek pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH).

RINGKASAN BERITA AI
  • Fungsi mencadang, menilai, melulus dan memantau perlu dipisahkan untuk mengelak fokus kuasa pada satu pihak.
  • Pelaburan besar, berisiko atau luar negara harus melalui semakan pakar bebas dan kelulusan lembaga, sambil amaran risiko diberi perhatian serius.
  • Rekod keputusan jelas, budaya membenarkan bantahan, perlindungan pemberi maklumat dan tindakan terhadap kecuaian diperlukan untuk pertanggungjawaban.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohd Iqbal Mohd Noor berkata, fungsi mencadang, menilai, melulus dan memantau sesuatu pelaburan tidak seharusnya tertumpu kepada satu pihak sahaja.

Menurutnya, bagi pelaburan berskala besar, berisiko tinggi atau melibatkan negara asing, semakan pakar bebas serta kelulusan lembaga perlu diperoleh demi melindungi kepentingan pendeposit.

Beliau berkata, setiap keputusan pelaburan perlu mempunyai jejak rekod yang jelas bagi memastikan proses semakan dan pertanggungjawaban dapat dilakukan.

“Setiap keputusan mesti mempunyai rekod mengenai siapa yang mencadangkan, siapa yang membantah, siapa yang meluluskan dan mengapa keputusan itu dibuat,” katanya kepada RTM.

Dr. Mohd Iqbal turut memaklumkan, sebarang amaran daripada pihak pengurusan risiko juga perlu diberi perhatian serius sebelum sesuatu pelaburan diteruskan.

“Jika pegawai risiko memberikan status merah, pelaburan tidak boleh diteruskan sehingga isu itu diselesaikan.

“Sekiranya berlaku kecuaian serius, perlu ada tindakan seperti tiada bonus, tindakan sivil atau rujukan kepada pihak penguat kuasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya pembaharuan pengurusan TH turut disokong perubahan dalam budaya kerja organisasi.

“Kita perlu ada budaya yang membenarkan bantahan tanpa sebarang tekanan. Kita juga perlu memastikan pemberi maklumat bebas dan dilindungi,” jelasnya.

Beliau berkata, penilaian sesuatu transaksi atau pelaburan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pencapaian petunjuk prestasi utama.

“Kita tidak sepatutnya melihat sekadar kepada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk meluluskan transaksi atau pelaburan.

“Sebaliknya, keputusan perlu berdasarkan keupayaan kita untuk melindungi dana itu daripada berlakunya kerugian,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.