Jentera PH Pulau Pinang diarah mula persiapan awal hadapi PRU

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berucap dalam Majlis Rumah Terbuka MADANI Tahun Baharu Cina PKR Pulau Pinang di Wisma PKR, George Town.

GEORGE  TOWN, 18 Februari – Jentera Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang diarah memulakan persiapan awal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang memandangkan baki tempoh penggal dijangka kurang dua tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jentera PH Pulau Pinang diarahkan mulakan persiapan awal hadapi PRU dalam tempoh penggal kurang dua tahun.
  • Fokus pada pengukuhan dalaman: susun semula jentera, strategi gerak kerja, dan pemantapan organisasi di semua peringkat.
  • Matlamat mempertahankan pemerintahan negeri dan pusat sambil tunjukkan rekod prestasi pentadbiran yang meyakinkan.

Pengerusi Majlis Pimpinan PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata fokus ketika ini adalah pengukuhan dalaman yang merangkumi penyusunan semula jentera, strategi gerak kerja serta pemantapan organisasi pada semua peringkat.

“Masa berlalu pantas, jadi kita perlu mulakan persiapan untuk menghadapi pilihan raya yang akan datang. Kita juga telah buat ketetapan untuk mempertahankan pemerintahan pada peringkat negeri dan juga peringkat pusat, itulah misi serta tanggungjawab berat kepada kita semua,” katanya ketika berucap dalam Majlis Rumah Terbuka MADANI Tahun Baharu Cina PKR Pulau Pinang di Wisma PKR, Bayan Baru, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Wanita PKR yang juga Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Datuk Mohamad Abdul Hamid yang juga Timbalan Ketua Menteri I dan barisan kepimpinan parti negeri.

Chow yang juga Ketua Menteri berkata tahun ini merupakan tempoh penting untuk memperkukuh kekuatan parti dan menambah baik prestasi pentadbiran kerajaan.

“Tempoh yang ada semakin singkat, jadi kita perlu mula bekerja sekarang supaya menjelang pilihan raya nanti kita dapat tunjukkan rekod prestasi pentadbiran yang meyakinkan rakyat,” katanya.

Dalam sidang media kemudiannya, beliau memaklumkan keputusan memulakan persiapan jentera lebih awal itu telah dibuat dalam mesyuarat awal Februari lepas dan bukan dipengaruhi faktor politik semasa mana-mana parti lain

“Keputusan sama ada PRU dan Pilihan Raya Negeri akan diadakan serentak atau tidak bergantung sepenuhnya kepada kepimpinan pusat, dan PH Pulau Pinang akan mematuhi sebarang ketetapan yang dibuat,” jelas beliau.