
KUANTAN, 18 Februari – Jenazah lima sekeluarga yang terlibat dalam insiden pembunuhan di kawasan perumahan Cerating Damai di sini selamat dikebumikan dalam dua liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Budaya Cerating kira-kira pukul 7.20 malam ini.
- Jenazah dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Cerating sebelum dikebumikan.
- Lima mangsa dikebumikan dalam dua liang lahad berasingan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Budaya Cerating.
- Tiga generasi keluarga termasuk dua cucu dikebumikan dalam liang lahad yang sama.
- Insiden melibatkan pembunuhan dan kecederaan menggunakan senjata tajam, suspek juga maut.
Kesemua mangsa dikebumikan dalam dua liang lahad berasingan.
Jenazah Tuan Kamaria Tuan Puteh, 56 tahun, bersama menantunya Nurul Asshiykin Kamaruzzaman, 33 tahun, serta dua cucunya Nur Sumayyah Humairah, dua tahun dan Nur Saffiyah Humairah, lima tahun dikebumikan dalam satu liang lahad yang sama.
Suami kepada Nurul Asshiykin yang juga anak kepada Tuan Kamaria turut dikebumikan dalam satu liang lahad berhampiran.
Terdahulu, kesemua jenazah dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Cerating.
Semalam, media melaporkan lima sekeluarga ditemukan maut di sebuah rumah di Cerating.
Empat mangsa dipercayai dibunuh selepas lelaki berkenaan mencederakan isteri, ibu dan dua anak perempuannya menggunakan senjata tajam yang disyaki pisau sebelum dia bertindak mencederakan diri sendiri dan turut maut.