fb fb fb fb fb

Jenayah siber meningkat, jenayah indeks dan komersial menurun pada 2022- DOSM

INFOGRAFIK STATISTIK JENAYAH 2023 / DOSM

PUTRAJAYA, 2 November- Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada tahun 2022 menunjukkan jenayah indeks dan jenayah komersial masing-masing menurun sebanyak 4.1 peratus dan 3.0 peratus kepada 50,813 kes dan 30,536 kes pada 2022.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata jenayah siber meningkat 44.3 peratus kepada 577 kes daripada 400 kes dalam tempoh sama. Jenayah indeks merangkumi jenayah kekerasan dan jenayah harta benda.

"Kedua-dua jenayah ini masing-masing menunjukkan penurunan 10.0 peratus dan 2.4 peratus kepada 10,348 kes dan 40,465 kes pada 2022. Kesemua jenis kesalahan bawah jenayah komersial pada 2022 yang dilaporkan Polis Diraja Malaysia menurun kecuali kesalahan berkaitan wang palsu dan jenayah siber," katanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan kesalahan tipu merekodkan bilangan tertinggi iaitu 27,247 kes (89.2%) diikuti pecah amanah (911 kes; 3.0%) dan kesalahan bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (832 kes; 2.7%).

Manakala, bagi kes berkaitan dadah meliputi membekal dadah, memiliki dadah dan positif ujian urin menunjukkan peningkatan sebanyak 30.6 peratus kepada 141,289 kes pada 2022.

"Kesalahan membekal meningkat sebanyak 18 peratus, memiliki dadah meningkat sebanyak 35.1 peratus dan positif ujian urin meningkat 31.2 peratus berbanding 2021. Bilangan tangkapan berkaitan kes dadah pula meningkat 26.3 peratus kepada 163,697 tangkapan pada 2022 seperti yang dilaporkan Polis Diraja Malaysia," katanya.

Menurutnya lagi, bagi kes berkaitan rasuah, bilangan kertas siasatan yang dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan penurunan 1.0 peratus kepada 820 kes (2022) daripada 828 kes (2021).

"Kertas siasatan bagi semua jenis kesalahan pada 2022 merekodkan penurunan kecuali kesalahan tuntutan palsu dan memberi rasuah masing-masing meningkat 41.1 peratus dan 17.9 peratus. Bilangan tangkapan yang dibuat oleh SPRM meningkat 6.8 peratus pada 2022 dengan 909 tangkapan berbanding 851 tangkapan (2021).

"Bilangan tangkapan bagi kesalahan tuntutan palsu pada 2022 meningkat sebanyak 66.9 peratus. Manakala, tangkapan bagi memberi rasuah, menerima rasuah dan salah guna kedudukan mencatatkan penurunan dalam tempoh sama,"menurutnya.

Turut mencatatkan peningkatan, kata Mohd Uzir, bilangan kes jenayah seksual; meningkat 2.9 peratus pada 2022 dengan 3,303 kes berbanding 3,209 kes pada 2021.

"Pun begitu, kes seks luar tabii, gangguan seksual dan cabul kehormatan masing-masing menunjukkan penurunan sebanyak 10.4 peratus, 5.7 peratus dan 0.5 peratus sementara kes rogol mencatatkan peratus peningkatan tertinggi pada 2022 iaitu 9.6 peratus,"katanya.

Dalam pada itu, tambah Mohd Uzir, daripada aspek pematuhan alam sekitar, bilangan saman yang dikeluarkan bagi pelepasan asap hitam oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 2022 merekodkan peningkatan 119.1 peratus kepada 631 saman daripada 288 saman (2021).

"Saman yang dikeluarkan kepada bas dan kereta/van masing-masing menunjukkan penurunan iaitu 12.5 peratus dan 5.6 peratus. Saman tertinggi dikeluarkan adalah kepada lori (550 saman) diikuti oleh trak ringan (50 saman), kereta/van (17 saman) dan bas (14 saman).

"Manakala bilangan saman trafik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia pada 2022 meningkat 15.3 peratus kepada 5.3 juta saman berbanding 2021 (4.6 juta saman).

"Bagi jenayah maritim pula, bilangan tangkapan tertinggi yang dilaporkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 2022 adalah kesalahan bawah Akta Perikanan 1985 (604 kes) dengan peningkatan 5.0 peratus berbanding 575 kes (2021).

"Ini diikuti kesalahan bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dengan 203 kes (2022) berbanding 198 kes (2021) dan Akta Imigresen 1959/63 dengan 199 kes (2022) berbanding 137 kes (2021),"jelas Mohd Uzir.

Beliau turut memaklumkan bilangan orang diparol yang direkodkan oleh Jabatan Penjara Malaysia pada 2022 mencatatkan peningkatan sebanyak 5.5 peratus kepada 7,613 orang berbanding 7,218 orang (2021).

Daripada jumlah tersebut katanya, 96.9 peratus adalah lelaki manakala 3.1 peratus adalah perempuan. Manakala, bilangan kemasukan banduan sabitan meningkat 24.5 peratus pada 2022 (104,081 penghuni) berbanding 2021 (83,592 penghuni).

"Selangor merekodkan bilangan kemasukan banduan sabitan tertinggi iaitu 27,765 penghuni diikuti Kedah (8,980 penghuni), Johor (8,635 penghuni) dan Sabah (8,412 penghuni),"katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE