PUTRAJAYA, 29 Januari- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah melancarkan sistem ePremis bagi mewujudkan pengkalan data pemain industri.
Ia bagi memudahkan akses kepada perkhidmatan berkaitan keselamatan kebakaran.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohamad berkata, sehingga kini, seramai 258 pengguna profesional telah mendaftar.
Kesemua yang berdaftar terdiri daripada 17 orang jurutera keselamatan kebakaran, sembilan buah firma kejuruteraan keselamatan kebakaran dan 77 orang profesional.
"Sasarannya kita menjangkakan lapan modul apabila dilaksanakan termasuk khususnya kepada pendidikan awam, bomba komuniti akan masuk, bomba sukarela akan masuk. Penggunanya dijangkakan 1.75 juta. Jadi yang pentingnya, kita dapat track rekod penglibatan individu-individu dalam program ini.
"Jadi kalau dia pernah menyertai bomba, bila semak memang ada nama dan akan datang, sekarang ni perlu secara manual keluarkan sijil, tapi akan datang, dia boleh terus cetak sendiri sijil", katanya dalam sidang media Majlis Perbarisan Tahunan 2024 JBPM di Putrajaya.
Pelaksanaan ePremis akan memudahkan akses kepada perkhidmatan berkaitan keselamatan kebakaran dengan mengelakkan kongkongan birokrasi proses secara bersemuka yang wujud dalam penyampaian perkhidmatan sedia ada.