TAMBUN, 4 Mei- Semangat dan pengorbanan yang diberikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah mengangkat martabat negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia khususnya apabila jabatan itu turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi gempa bumi yang melanda Turkiye, tahun lalu.
Jelas Anwar, pengorbanan dan perkhidmatan yang dipamerkan mendapat perhatian Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
"Tahun lalu, bila saya hadir setelah gempa bumi di Turkiye, setiap kali jumpa Presiden (Erdogan), dia tidak pernah lupa tentang kehadiran, ramai negara lain hadir.. tapi dia 'salute' (tabik hormat) kerana kecekapan, kekentalan, disiplin dan semangat ihsan kasih sayang yang ditunjukkan rakan-rakan pasukan JBPM.
"Saya rasakan negara ini harus diangkat martabatnya.. dan terangkat martabat dan keupayaan itu dengan semangat dan pengorbanan, dengan kecekalan," katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2024 yang di sini.
Dalam pada itu, menurut Anwar, langkah menaikkan gaji penjawat awam bertujuan menghargai dan mengiktiraf perkhidmatan terutama pasukan keselamatan termasuk anggota JBPM.
Anwar menyifatkan sumbangan JBPM amat signifikan dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan masyarakat.
"Dia (pembangkang) kata mengapa dalam keadaan ekonomi sekarang, kerajaan pilih untuk naikkan gaji dan upah penjawat awam.. dia lupa negara aman, negara selamat daripada kebakaran, tanah runtuh.. semua kerana perkhidmatan dan pengorbanan..maka, kita iktiraf.
"Sebab itu saudara Nga Kor Ming sebut tentang pengiktirafan..sama ada jabatan, elaun, upah dan gaji..saya teliti bersama-sama KSN (Ketua Setiausaha Negara), KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam) kerana saya tahu 12 tahun.. sudah sampai masa kita kaji semula skim perkhidmatan," kata Anwar.
Beliau turut menyelar tindakan beberapa pihak yang mempertikaikan langkah kerajaan menaikkan gaji penjawat awam.
Tegasnya, langkah menaikkan gaji penjawat awam sangat wajar, selaras perkhidmatan dan sumbangan yang diberi oleh golongan tersebut.