Jawatankuasa khas perkukuh tindakan banteras penipuan dalam talian

 Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Tindakan tegas dan tuntas dijangka akan dapat dilaksanakan susulan penubuhan Jawatankuasa Kerja dan Kumpulan Teknikal Khas bagi menangani jenayah penipuan dalam talian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penubuhan Jawatankuasa Kerja dan Kumpulan Teknikal Khas melibatkan bank, telekomunikasi dan platform media sosial utama.
  • Pendekatan menyeluruh rentas kementerian, agensi dan sektor industri memperkukuh penguatkuasaan, perundangan dan siasatan terhadap penipuan dalam talian.
  • Model bersepadu terbukti berkesan dalam kes jenayah seksual kanak-kanak dan dijangka memberi hasil positif menangani penipuan dalam talian.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan jawatankuasa berkenaan yang telah ditubuhkan pada 18 Jun lalu turut membabitkan kerjasama daripada sektor perbankan, telekomunikasi dan platform media sosial utama.

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI menegaskan pendekatan menyeluruh menerusi kerjasama rentas kementerian, agensi dan sektor industri itu bakal membolehkan satu perkembangan positif dicapai.

Ia sekali gus, memperkukuh tindakan membanteras jenayah penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan.

“Buat pertama kalinya sektor perbankan, sektor telekomunikasi serta platform-platform utama di mana masalah jenayah penipuan dalam talian ini berlaku. Ini bermaksud platform-platform media sosial juga akan terlibat.

“Ini adalah satu langkah proaktif di pihak kerajaan untuk mengenalpasti isu-isu yang dihadapi dan menguruskan sama ada dari segi penguatkuasaan, dari segi perundangan dan juga siasatan supaya rakyat Malaysia akan dapat lebih selamat bila menggunakan platform-platform dan juga diselamatkan daripada jenayah penipuan dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Mingguan di Angkasapuri Kota Media.

Datuk Fahmi turut memaklumkan pendekatan bersepadu itu sebelum ini telah membuktikan keberkesanannya dalam menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang membawa kepada penahanan seramai 117 individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan pedofilia.

Beliau berkata pendekatan berkenaan juga diaplikasikan dan dijangka membawa perkembangan positif khusus bagi menangani kes jenayah penipuan dalam talian.

Datuk Fahmi memaklumkan mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut juga bakal diadakan dalam masa terdekat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.