fb fb fb fb fb

JAS Kedah jawab aduan longgokan disyaki sisa kitar semula di Bakar Arang

Longgokan seluas 7,200 kaki persegi itu adalah sisa penebat (insulator) yang telah dipisahkan daripada wayar

SUNGAI PETANI, 6 Februari- Jabatan Alam Sekitar JAS Kedah mengesahkan longgokan disyaki sisa kitar semula yang tular di media sosial adalah longgokan sisa buangan dari  premis kilang yang terbiar di kawasan perindustrian Bakar Arang, Sungai Petani.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab menerusi kenyataan memaklumkan premis terbabit disyaki beroperasi secara haram dan tiada sebarang tanda nama kilang dijumpai.

Katanya longgokan seluas 7,200 kaki persegi itu adalah longgokan penebat (insulator) yang telah dipisahkan daripada wayar.

Pihaknya mengesyaki premis terbabit memposes wayar atau sisa kabel sebelum ditinggalkan terbiar.

Sharifah Zakiah berkata JAS akan memaklumkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan PBT dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) untuk  tindakan selanjutnya.

Terdahulu pusat khidmat ADUN Bakar Arang  Adam Loh memuat naik paparan longgokan disyaki sisa kitar semula di kawasan perindustrian Bakar Arang.

Dalam kejadian 3 Disember lalu, tiga premis memproses barangan kitar semula yang terlibat dalam kebakaran sehingga mencetus letusan seakan-akan bunga api  besar di Bukit Selambau, dipercayai  beroperasi secara haram kerana tiada sebarang kebenaran atau lesen diperolehi di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE