TEMERLOH, 17 Mei - Jambatan Sultan Haji Ahmad Shah kedua, di sini bakal menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas di jambatan sedia ada terutamanya pada waktu puncak dan musim perayaan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek tersebut diluluskan di bawah peruntukan pembangunan Rolling Plan 3, Rancangan Malaysia Kesebelas (RP3, RMKe-11) Tahun 2020 dengan kos kontrak semasa berjumlah RM102 juta.
"Antara keistimewaan projek ini adalah sistem dek daripada segmental box girder (SBG) yang digunakan pada rentang utama jambatan (span 4) tersebut merupakan antara yang terpanjang di Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan ke jambatan itu, di sini.
Tambah Alexander, akan dibuka kepada pengguna 31 Ogos depan, jambatan yang terletak bersebelahan jambatan sedia ada itu mempunyai laluan dua hala, empat lorong yang dapat dimanfaatkan kira-kira 10,000 pengguna jalan raya setiap hari.