fb fb fb fb fb

Jambatan runtuh: Penduduk 4 kampung di Kualai Krai terputus hubungan

Penduduk menunggu bot untuk menyeberang sungai susulan jambatan runtuh

KUALA KRAI, 18 Disember-  Seramai kira-kira 500 penduduk di empat buah kampung di Kelantan terputus hubungan apabila sebuah jambatan runtuh akibat banjir baru-baru ini.

Ia melibatkan Kampung Pasir Jering, Kampung Dusun Ban, Kampung Dusun Bunut dan Kampung Batu Pagar di sini.

Penduduk, Hasbullah Mat Hassan berkata, mereka terputus hubungan dan tidak dapat meneruskan aktiviti harian sejak Khamis lalu.

Jelasnya, jambatan berkenaan merupakan laluan utama penduduk untuk keluar ke pekan sini dan kini mereka terpaksa menggunakan bot atau perahu untuk menyeberang ke Kampung Chenulang bagi mendapatkan bekalan makanan, keluar bekerja atau ke sekolah. 

"Susah nak pergi mana-mana, sebab jambatan ini jalan utama untuk penduduk. Jambatan ini sudah lebih kurang 40 tahun (dibina) dan ini kali pertama runtuh," katanya.

Sehubungan itu, penduduk berharap agar jambatan sementara dapat dibina segera memandangkan terdapat ahli keluarga tidak dapat pulang ke tempat kerja masing-masing selepas pulang bercuti di kampung.

Tinjauan pemberita RTM mendapati separuh struktur jambatan besi terbabit telah runtuh akibat arus deras.

Dalam pada itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Briged Kelapan Infantri (8 BRIGED) menasihat penduduk agar tidak menyeberang sungai atas faktor keselamatan.

Panglimanya, Brigedier Jeneral Datuk Azudin Hassan berkata, ATM juga menyediakan dua buah bot untuk kegunaan kecemasan.

Hari ini, perbincangan mengenai perkara itu bersama Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) diadakan dan tindakan selanjutnya akan diputuskan hari sama.

Azudin berkata, sehingga malam tadi, ATM bersama polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan pejabat Jajahan Kuala Krai menjalankan pemantauan.

"Kita nasihatkan orang kampung tidak menyeberang sungai kecuali ada kes kecemasan.

"Saya sudah letakkan anggota di sini, jika ada kecemasan, (misalnya) orang hendak bersalin atau sebagainya

"Pengarah bencana (PKOB) mungkin akan turun (hari ini). Jadi dari perbincangan itu, kita akan lihat apa yang terbaik untuk dilakukan dalam membantu penduduk," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di lokasi kejadian di sini.

Tambahnya, seramai 55 pegawai dan anggota termasuk polis, bomba, ATM dan APM bertugas untuk memastikan keselamatan penduduk.

SITI AISHAH BINTI MD ISA