IPOH, 7 Februari - Beberapa jalan di sekitar bandar raya Ipoh akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat selama empat hari bermula Isnin ini (10 Feb) bagi memberi laluan kepada perarakan pedati dan kavadi sempena sambutan Thaipusam.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata penutupan dan lencongan jalan dari Kuil Sri Maha Mariamman di Sungai Pari, Buntong ke Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh.
Beliau berkata perarakan itu akan bermula pada pukul 6 pagi Isnin dan dijangka selesai pada 12 tengah hari.
Abang Zainal Abidin berkata perarakan balik pedati dari Kuil Sri Subramaniar ke Kuil Sri Maha Mariamman pula akan bermula pada 5 petang Rabu dan dijangka selesai pada 12 tengah hari keesokannya.
Justeru, beliau berkata penutupan dan lencongan jalan itu bermula dari Kuil Maha Mariamman melalui Jalan Sungai Pari-Jalan Tun Perak hingga ke Jalan Raja Musa Aziz-Bulatan Sultan Iskandar.
Abang Zainal Abidin berkata pergerakan balik pedati dari Kuil Sri Subramaniar ke Kuil Sri Maha Mariamman juga akan melalui laluan yang sama.
Selain itu, beliau berkata perarakan kavadi dari Kuil Sri Maha Mariamman ke Kuil Sri Subramaniar akan bermula pada 3 petang hingga 12 tengah malam Isnin dan bersambung pada 7 pagi Selasa hingga 2 pagi Rabu.
Lencongan dan penutupan jalan juga akan dilaksanakan secara berperingkat di Jalan Tun Perak, Jalan Lahat, Jalan Sultan Yusuf, Jalan Sultan Idris Shah, Jalan Dato’ Onn Jaafar dan Jalan Raja Musa Aziz.
“PDRM (Polis Diraja Malaysia) daerah Ipoh menjangkakan kehadiran pengunjung seramai 500,000 orang sepanjang empat hari sambutan Thaipusam tahun ini di Ipoh,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya menggunakan jalan alternatif menghala ke pusat bandar raya Ipoh iaitu Jalan Kuala Kangsar, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Sultan Nazrin Shah, Jalan Raja Dihilir, Jalan C.M. Yusuf, Jalan Yang Kalsom, Jalan Sultan Abdul Jalil dan Jalan Dato Ahmad Said.