BENTONG, 13 Januari - Kementerian Pengangkutan meluluskan Skim Keretapi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Jajaran Seksyen C2, semalam.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong, kerja-kerja pembinaan secara fizikal di Seksyen C2, dapat dimulakan pada suku pertama tahun ini.
Jelas beliau, kelulusan ini melibatkan maklum balas sesi pemeriksaan awam yang telah dijalankan suku terakhir tahun lepas.
"Daripada 12,797 responden yang memberikan maklum balas semasa pemerikasaan awam, seramai 12,652 responden iaitu 98.87 peratus menyokong penjajaran ECRL melalui jajaran asal ditambah baik manakala peratusan kecil responden membantah ECRL untuk sesksyen C1 dan C2 sebahagian besar jajaran rel rentasi rumah atau hartanah mereka," katanya pada sidang media selepas melawat tapak pembinaan Terowong Genting bagi laluan ECRL di sini, hari ini.
Kelulusan tersebut membolehkan kerja fizikal di Seksyen C2 dimulakan pada suku pertama tahun ini bagi sebarang penangguhkan selain memastikan pembinaan ECRL dapat disiapkan mengikut jadual iaitu pada Disember 2026.
Dokumen (kelulusan penuh Skim Keretapi) adalah dokumen mengikut akta dan kerja seterusnya akan berpandu kepada dokumen ini sehingga selesai. Ini tidak mengira apa juga pilihan raya yang berlaku", katanya
Tambahnya, kelulusan penuh ini juga bagi memenuhi jajaran baharu merentasi Gombak ke Pelabuhan Klang melalui Serendah dan Puncak Alam.
Setakat Disember lalu, tahap kemajuan projek ECRL sebanyak 26.49 peratus melibatkan jajaran Seksyen A dari Kota Bharu dan Dungun serta Seksyen B dari Dungun ke Mentakab.
Kos pembinaan ECRL juga kekal, RM50.2 bilion.