Isu tanah petani SVTP Kanthan hampir selesai, kawasan alternatif dikenal pasti

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim

IPOH, 25 April – Isu pemilikan dan penggunaan tanah membabitkan kira-kira 200 petani di kawasan pembangunan Silver Valley Technology Park (SVTP) di Kanthan, Chemor dijangka menemui penyelesaian dalam masa terdekat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rundingan pelbagai pihak menunjukkan perkembangan positif menurut Pegawai Khas Menteri Kewangan.
  • Cadangan sedang diperhalusi untuk menyediakan kawasan alternatif agar petani terjejas dapat meneruskan aktiviti pertanian.
  • Pejabat Parlimen Tambun mengenal pasti jajaran kereta api lama Tanjung Rambutan sebagai tapak penempatan semula, satu ekar setiap petani dipertimbangkan.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim, memaklumkan rundingan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan setakat ini menunjukkan perkembangan positif.

Menurut beliau, antara cadangan yang sedang diperhalusi ialah penyediaan kawasan alternatif yang sesuai bagi membolehkan petani terjejas meneruskan aktiviti pertanian mereka.

Katanya, pejabat Parlimen Tambun telah mengadakan perbincangan bersama sebuah syarikat GLC bagi mengenal pasti lokasi yang bersesuaian untuk tujuan tersebut.

“Sebagai sebahagian daripada penyelesaian, kita sedang mencari kawasan dan lokasi yang sesuai bagi memudahkan serta memberi laluan kepada para petani untuk terus menjalankan kegiatan pertanian mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri sesi perbincangan bersama petani terlibat berhubung status tanah di Kanthan, Chemor.

Tambah beliau, kawasan di jajaran laluan kereta api lama di Tanjung Rambutan dikenal pasti berpotensi untuk tujuan penempatan semula.

Jika diagihkan mengikut keluasan kira-kira satu ekar bagi setiap petani, kawasan berkenaan dilihat mampu menampung keperluan keseluruhan petani yang terlibat.