
MERSING, 4 Ogos – Jabatan Perikanan (DOF) sedang melaksanakan pemeriksaan secara maya bersama pihak berkuasa Thailand secara timbal balik dalam penilaian teknikal perdagangan perikanan, susulan isu penggantungan sementara import lima spesis udang dari negara itu oleh Malaysia.
- Pemeriksaan menyeluruh termasuk ladang, makmal, pusat penetasan dan pintu sempadan; semakan biosekuriti, analisis kimia dan penggunaan bahan terlarang.
- Proses pemeriksaan ladang udang selesai; tumpuan kini berpindah kepada pemeriksaan ladang siakap secara timbal balik minggu ini.
- Malaysia dan Thailand akan mengadakan rundingan meneliti dapatan sebelum pengumuman Kementerian; penggantungan import lima spesies udang masih berkuat kuasa.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, pemeriksaan itu melibatkan penilaian menyeluruh terhadap ladang, makmal, pusat penetasan serta pintu masuk sempadan di kedua-dua belah pihak.
Menurut beliau, pemeriksaan turut merangkumi penilaian terhadap komposisi serta pelaksanaan program biosekuriti di ladang, selain semakan dokumen berkaitan termasuk laporan analisis kimia makmal dan penggunaan bahan terlarang.
Katanya, proses pemeriksaan bagi ladang udang telah selesai dilaksanakan dan kini tumpuan diberikan kepada pemeriksaan ladang siakap.
“Thailand akan memeriksa ladang siakap di Malaysia, manakala Malaysia juga akan lakukan sebaliknya. Proses itu dijangka berlangsung minggu ini.
Selepas selesai, kedua-dua pihak akan mengadakan rundingan bagi meneliti dapatan pemeriksaan sebelum sebarang pengumuman lanjut dibuat oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Melabuhkan Tukun Tiruan Kuboid Penghalang Pukat Tunda di perairan Pulau Tinggi dan Pulau Sibu, di sini.
Katanya, pemeriksaan secara maya yang bermula pada 28 Julai lepas dan dijadual berakhir Jumaat ini, merupakan langkah penting dalam mengesahkan sistem pengeluaran udang dan siakap bagi kedua-dua negara.
“Kesemua pemeriksaan tersebut dilaksanakan selepas penilaian soal selidik bagi permohonan eksport udang Thailand ke Malaysia selesai di peringkat dokumentasi,” katanya.
Beliau berkata proses penilaian itu dijangka selesai minggu ini dan kedua-dua pihak akan mengadakan rundingan lanjut bagi meneliti dapatan berkenaan sebelum sebarang pengumuman dibuat oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Bulan lalu, KPKM mengumumkan penggantungan sementara import lima spesies udang dari Thailand yang berkuat kuasa pada 1 Jun sebagai sebahagian daripada langkah memperketat kawalan terhadap produk perikanan dari negara jiran itu.
Spesies yang terlibat ialah “Penaeus esculentus” (udang harimau coklat), “Fenneropenaeus merguiensis” (udang pisang), “Penaeus vannamei” (udang putih), “Penaeus monodon” (udang harimau) dan “Penaeus stylirostris” (udang biru).