Pensyarah UMT terpilih antara tiga Penyelidik Tamu Institusi Diraja Arab Saudi

Prof Madya Dr. Riswadi menjalankan kerja-kerja penyelidikan berkaitan manuskrip lama/Gambar UMT

KUALA NERUS, 4 Ogos – Pensyarah dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) antara tiga penyelidik dari seluruh dunia yang terpilih sebagai Penyelidik Tamu (Visiting Researcher) di King Abdulaziz Foundation for Research and Archives (DARAH), Riyadh, Arab Saudi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Profesor Madya Dr. Riswadi Azmi dipilih sebagai penyelidik pertama dari Asia Tenggara di DARAH, Arab Saudi.
  • Pelantikan mengiktiraf kepakaran beliau dalam manuskrip Alam Melayu, khususnya manuskrip al-Quran Diraja Terengganu.
  • Beliau menjalankan analisis perbandingan manuskrip al-Quran DARAH dengan tradisi penyalinan Asia Tenggara, termasuk iluminasi, khat dan kodikologi.
  • Hasil dijangka diterbitkan dalam jurnal antarabangsa, dibentang persidangan, dan memperkukuh pengajaran, penyelidikan serta pemeliharaan warisan manuskrip.

Lebih membanggakan, Profesor Madya Dr. Riswadi Azmi dari Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan, Pusat Pendidikan Asas dan Lanjutan (PPAL), menjadi penyelidik pertama dari Asia Tenggara yang dipilih menyertai program berkenaan.

Julung kali diperkenalkan oleh institusi penyelidikan diraja Arab Saudi, kohort pertama program berkenaan melibatkan tiga penyelidik iaitu masing-masing dari Malaysia, Jerman dan Australia.

UMT dalam kenyataan menjelaskan, pelantikan tersebut merupakan pengiktirafan terhadap kepakaran Profesor Madya Dr. Riswadi dalam bidang manuskrip Alam Melayu, khususnya penyelidikan berkaitan manuskrip al-Quran Diraja Terengganu.

Pengiktirafan itu sekali gus mengangkat keupayaan penyelidikan Malaysia dalam bidang manuskrip al-Quran dan warisan tamadun Islam ke peringkat antarabangsa.

Sepanjang tempoh pelantikan, beliau akan menjalankan penyelidikan yang memfokuskan analisis perbandingan manuskrip al-Quran dalam koleksi DARAH dengan tradisi penyalinan manuskrip al-Quran di Asia Tenggara, meliputi aspek seni iluminasi, khat, pembahagian ayat dan juzuk serta ciri-ciri kodikologi manuskrip.

Menurut Profesor Madya Dr. Riswadi, penyelidikan itu memfokuskan perkembangan tradisi penyalinan al-Quran dalam konteks sejarah Islam, selain membuka ruang kepada jaringan kerjasama akademik yang lebih kukuh antara Malaysia dan Arab Saudi dalam bidang manuskrip Islam serta warisan budaya.

“Hasil penyelidikan ini diharap dapat diterbitkan dalam jurnal antarabangsa, dibentangkan pada persidangan ilmiah, selain dimanfaatkan untuk memperkukuh pengajaran, penyelidikan dan usaha pemeliharaan warisan manuskrip Islam di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Profesor Dr. Suriyani Muhamad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMT berkata pelantikan berkenaan membuktikan pengiktirafan masyarakat akademik antarabangsa terhadap kecemerlangan penyelidikan warga universiti.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja memperkukuh reputasi UMT sebagai universiti yang aktif memacu penyelidikan berimpak tinggi, malah membuka peluang memperluas kerjasama strategik dengan institusi penyelidikan bertaraf dunia, khususnya dalam bidang warisan Islam, manuskrip Melayu dan tamadun Islam,” katanya.

DARAH merupakan institusi penyelidikan, arkib dan dokumentasi sejarah milik Kerajaan Arab Saudi yang berperanan memelihara serta membangunkan khazanah sejarah, manuskrip dan warisan kebangsaan. Institusi itu menjadi antara pusat rujukan utama dunia bagi penyelidikan sejarah, manuskrip dan tamadun Islam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.