fb fb fb fb fb

Isham Jalil diminta hadir mesyuarat MKT UMNO malam ini - Ahmad Zahid

Foto FB Zahid Hamidi

PUTRAJAYA, 6 Disember- Penghantaran bantuan kemanusiaan siri tiga Malaysia untuk Palestin akan dilakukan pada 18 Disember ini melibatkan pelbagai barangan seberat 60 tan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ia merupakan sumbangan terbesar setakat ini yang diselaraskan Wisma Putra.

"Kita harap keprihatinan rakyat Malaysia dapat diteruskan kerana kita lihat bahawa asakan lebih ke selatan di kawasan Gaza ini amat menyakitkan. Kezaliman ini masih diteruskan oleh pihak zionis dan kita tidak boleh hanya melihat, tetapi kita perlu harus memberikan bantuan berterusan kepada rakyat Palestin khususnya di Gaza, yang terus dikenakan tekanan oleh pihak Israel," katanya ketika menyaksikan penyerahan sumbangan kutipan Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) oleh Wanita UMNO berjumlah RM621,954.60 dan Syarikat 99 Speedmart Sdn Bhd berjumlah RM200,000 di sini.

November lalu, Malaysia telah menghantar bantuan menerusi dua siri Ops Ihsan barangan keperluan perubatan, barangan bayi dan makanan ke Gaza dengan masing-masing sehingga 20 dan 16 tan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid meminta Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil untuk hadir mesyuarat parti itu di Bangunan UMNO, malam ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata ia selepas tiga kali Isham tidak muncul di mesyuarat berkenaan sebelum ini.

Beliau turut mengulas kenyataan Isham yang menyifatkan kekalahan calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman berpunca daripada pemimpin UMNO yang terlalu mempertahankan Parti Tindakan Demokratik (DAP).

"Mudah-mudahan Isham mempunyai keberanian datang malam ini untuk menyuarakan pendapat yang beliau sanggah sendiri apabila kita mahu jalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi pembentukan Kerajaan Perpaduan," kata Ahmad Zahid.

Sementara itu, beliau turut mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang tidak menolak kemungkinan bekerjasama semula dengan UMNO di sebalik sejarah 'pahit' kedua-dua parti itu, sebelum ini.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata sebarang kerjasama dengan UMNO perlu melalui platform Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), selain menjelaskan PAS tidak pernah mengetepikan agenda penyatuan ummah.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM