KUALA LUMPUR, 8 Julai - Institusi pengajian tinggi memainkan peranan penting dalam meneruskan legasi pemikiran negarawan ulung negara, termasuk Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang terkenal dengan pendekatan kepimpinan berasaskan nilai kemanusiaan, pembangunan modal insan dan kemajuan seimbang.
Naib Canselor Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Prof. Madya Dr. Sharifah Syahirah Sy Sheikh menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab universiti untuk mencambahkan wacana pemikiran tokoh seperti Allahyarham Tun Abdullah dalam kalangan mahasiswa agar mereka membesar sebagai pemimpin berjiwa rakyat.
“Sebagai sebuah universiti, kami memikul tanggungjawab untuk mengetengahkan, mencambahkan dan mewacanakan pemikiran-pemikiran pemimpin hebat seperti Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi. Kami percaya, para pelajar perlu diberi ruang untuk mengenali dan meneladani nilai serta falsafah kepimpinan beliau agar mereka bukan sahaja mampu menjadi seperti beliau, malah menjadi lebih baik demi kemajuan negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri, RTM hari ini.
Simposium anjuran bersama MARA dan beberapa institusi pendidikan ini turut menampilkan tokoh akademik, pembuat dasar dan ahli masyarakat bagi membincangkan dasar serta falsafah kepimpinan Tun Abdullah dalam aspek pentadbiran, pendidikan, perpaduan nasional serta pembangunan ekonomi negara.
Prof. Madya Dr. Sharifah Syahirah turut menyifatkan nilai yang diketengahkan oleh Allahyarham Tun Abdullah seperti keikhlasan, kesederhanaan, dan keutamaan terhadap khidmat kepada masyarakat sangat bertepatan untuk diteladani generasi muda dalam era kepimpinan masa depan.