fb fb fb fb fb

Insiden kekacauan di Kuala Terengganu, TFC mohon maaf

(Bas ditembusi batu selepas perlawanan antara Selangor FC dan Terengganu FC)

GONG BADAK, 22 November- Terengganu FC kesal dan mengecam sekeras-kerasnya insiden kekacauan yang berlaku di luar stadium selepas tamat perlawanan Bola Sepak Separuh Akhir kedua Piala Malaysia 2022 semalam.

Dalam satu kenyataan di laman Facebook TFC Insiden kekacauan yang dicetuskan segelintir penyokong itu adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan telah mencemarkan nama baik pasukan khususnya, serta komuniti bola sepak umumnya.

Pihak pengurusan TFC secara terbuka ingin memohon maaf kepada pihak Selangor FC atas insiden yang berlaku dan menegaskan ia tidak mewakili serta menggambarkan imej serta keperibadian keseluruhan penyokong yang telah menunjukkan komitmen serta disiplin yang sangat baik sepanjang kempen Liga Super dan Piala Malaysia.

Dalam satu video yang tular di media sosial, bas yang membawa pemain Selangor FC telah dilempar pelbagai objek termasuk batu yang turut menembusi tingkap bas.

Dalam pada itu, satu kertas siasatan telah dibuka oleh Polis Kuala Terengganu untuk tindakan selanjutnya.

Semalam Selangor FC berjaya mengatasi halangan terbesar mereka Terengganu FC dan melangkah ke pentas final Piala Malaysia untuk berentap dengan Juara Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT), selepas menang dengan agregat 3-2.

Dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus malam tadi, TFC berjaya meraih kemenangan 1-0 namun tewas menerusi keputusan agregat.

(Tangkap layar facebok Terengganu FC)

 

Media Baharu