
ALOR SETAR, 17 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menegaskan kejadian bot membawa kira-kira 250 hingga 280 migran yang dilaporkan karam di Laut Andaman tidak berlaku dalam perairan negara.
- Maritim mendapat kerjasama risikan dari negara jiran untuk perkembangan lanjut berkaitan insiden.
- Sebarang operasi mencari dan menyelamat tertakluk kepada negara yang mempunyai bidang kuasa menurut konvensyen maritim antarabangsa.
- Maritim akan menggerakkan aset jika mangsa atau mayat memasuki perairan negara; pemantauan juga dijalankan di utara Langkawi.
- Orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih; Maritim komited memperkukuh rondaan dan pemantauan keselamatan perairan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, kejadian itu tidak berada di bawah bidang kuasa serta tanggungjawab operasi agensi berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya telah menerima maklumat berkaitan insiden tersebut dan sedang mendapatkan kerjasama risikan daripada negara jiran bagi perkembangan lanjut.
“Sebarang operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) tertakluk kepada negara yang mempunyai bidang kuasa di lokasi kejadian, selaras dengan konvensyen maritim antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Maritim Malaysia akan menggerakkan aset sekiranya terdapat laporan mangsa hanyut atau penemuan mayat yang memasuki perairan negara.
Dalam masa sama, Maritim Negeri Kedah dan Perlis tidak mengaktifkan Op Guard setakat ini, namun aset telah ditempatkan di sekitar perairan utara Pulau Langkawi sebagai langkah pemantauan dan kesiapsiagaan.
“Pemantauan turut dilaksanakan menggunakan aset radar RSS Tanjung Kemarung bagi mengesan sebarang pergerakan di kawasan sempadan perairan negara,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengelirukan.
Maritim Malaysia menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh rondaan dan pemantauan bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara.