
GEORGE TOWN, 21 Januari– Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 termasuk penyelarasan kemasukan Tahun Satu seawal usia enam tahun serta pengenalan semula ujian berpusat Tahun Empat, mengundang pelbagai reaksi.
- Ibu bapa sambut baik penilaian Darjah Empat untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pembelajaran awal.
- Peranan ibu bapa di rumah penting bagi memastikan transisi ke Tahun Satu tidak membebankan emosi kanak-kanak.
- Kerjasama guru dan ibu bapa perlu dimulakan segera untuk persediaan, elakkan tekanan dan pastikan pelaksanaan berimbang.
Rata-rata ibu bapa menyambut baik usaha itu sebagai indikator awal hala tuju akademik murid, namun menekankan aspek kesiapsiagaan dan kerjasama semua pihak.
Ini dilihat sebagai penyelesaian kepada kekeliruan dalam menilai tahap sebenar pembelajaran anak-anak, sejak ketiadaan peperiksaan sebelum ini.
“Apabila penilaian Darjah Empat mula diperkenalkan, saya berpandangan ia satu langkah yang baik. Guru-guru dapat menilai sejauh mana prestasi pelajar bermula dari Darjah Satu hingga Darjah Empat. Ia juga memudahkan persediaan ke Darjah Lima dan seterusnya, khususnya untuk mengenal pasti aspek yang memerlukan penambahbaikan,” kata Mohamad Amin Mohd Yusof.
Namun, bagi memastikan kelancaran sistem penilaian yang diperkenalkan, kerjasama erat antara guru dan ibu bapa perlu bermula dari sekarang bagi mengelakkan tekanan kepada emosi murid.
“Pada pandangan saya, sistem ini ada kebaikan dan keburukannya. Namun, perkara paling penting ialah cara pelaksanaannya supaya tidak membebankan pelajar. Sebenarnya peperiksaan seperti ini bagus kerana ia membolehkan kita melihat hala tuju pelajar sejak awal.”
“Jadi, dalam pelaksanaannya, kerjasama perlu bermula dari awal. Memandangkan kerajaan telah mengumumkannya pada Januari, maka persediaan juga perlu bermula dari bulan ini supaya ia tidak menjadi beban kepada anak-anak dan ibu bapa,” kata Zuraidah Ibrahim.
Selain itu, penyesuaian umur kemasukan ke Tahun Satu seawal usia enam tahun turut menjadi tumpuan, bagi membentuk proses sosialisasi serta kematangan murid dalam persekitaran pembelajaran yang lebih mencabar.
“Bagi kanak-kanak seawal enam tahun, sekiranya ibu bapa merasakan anak mereka sudah bersedia untuk memasuki Darjah Satu, saya tidak melihat sebarang masalah. Sekurang-kurangnya, mereka dapat belajar berdikari serta bergaul dengan rakan-rakan di sekolah, sekali gus membantu membentuk kematangan diri pada masa hadapan,” kata Mohd Aizuddin Abd Rahman.
Bagaimanapun, peranan ibu bapa di rumah tetap menjadi kunci utama bagi memastikan transisi tersebut tidak membebankan emosi serta tahap penguasaan anak-anak.
“Walau apa pun, peranan ibu bapa di rumah amat penting dalam mendidik anak-anak sejak awal, khususnya sebagai persediaan sebelum mereka melangkah ke Darjah Satu pada usia enam tahun. Justeru, persiapan di rumah dilihat sebagai faktor paling utama,” kata Shamimi Shazwani Samsudin.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluncurkan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Selasa (20 Januari).
Peluncuran itu sekali gus telah menjadi titik mula kepada transformasi landskap pendidikan negara bagi tempoh 10 tahun akan datang.