PUTRAJAYA, 30 September - Ibu bapa digalakan untuk menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (child seat) dalam kenderaan persendirian bagi mengelakkan risiko kecederaan serius sekiranya berlaku kemalangan jalan raya.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ketika ini kementeriannya belum bercadang untuk mewajibkan penggunaan atau melaksanakan penguatkuasaan kerusi khas itu.
Katanya, tumpuan utama adalah meneruskan kempen keselamatan jalan raya bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak.
“Penggunaan child seat adalah digalakkan kerana ia soal keselamatan anak-anak. Tetapi buat masa ini kita tidak cadang untuk kuatkuasakan peraturan. Fokus kita adalah pada kempen kesedaran,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya sentiasa terbuka menerima pandangan dan kritikan masyarakat berhubung isu itu, namun setiap keputusan perlu mengambil kira kemampuan rakyat secara menyeluruh.
Pada Sabtu, seorang bayi lelaki berusia setahun tercampak keluar kenderaan sebelum maut dalam nahas membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang.
Laporan polis mendapati bayi terbabit tidak diletakkan dalam kerusi khas ketika kejadian, sebaliknya tercampak keluar lalu tersepit dalam kenderaan lain selepas lori muatan lusuh merempuh beberapa kenderaan di plaza tol berkenaan.