
PUTRAJAYA, 19 April – Bantuan asas dan penempatan sementara akan disediakan untuk penduduk terjejas kebakaran di Kampung Bahagia di sini.
- Kerajaan persekutuan menyelaraskan usaha bersama kerajaan negeri Sabah.
- Keutamaan kini keselamatan penduduk terjejas serta bantuan segera di lapangan.
- Kebakaran awal pagi memusnahkan kira-kira 200 kediaman, angin kencang dan rumah rapat mempercepat penyebaran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha penyelarasan sedang dilaksana kerajaan persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri Sabah.
“Saya terkesan menerima laporan kebakaran yang memusnahkan ratusan rumah penduduk kampung.
“Keutamaan kini adalah keselamatan penduduk terjejas serta bantuan segera di lapangan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Dalam pada itu, Ketua Zon 6 Sandakan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Jasri Ab Jal berkata, hampir 1,000 rumah musnah dalam kebakaran yang berlaku awal pagi tadi.
Ia menjejaskan lebih 900 ketua isi rumah (KIR).
Setakat laporan ini diterbitkan, operasi pemadaman masih dijalankan, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat.