
PUTRAJAYA, 19 April – Jabatan Kerja Raya (JKR) diarah menjalankan siasatan teknikal terperinci berhubung insiden banjir yang mengakibatkan runtuhan tembok penahan berhampiran tapak projek di Jalan Abang Haji Openg, Taman Tun Dr. Ismail di ibu negara, semalam.
- Siasatan teknikal bertujuan mengenal pasti punca, menilai integriti struktur dan mencadangkan langkah mitigasi tambahan.
- Tindakan segera dilaksanakan, termasuk pembersihan, pembukaan papan penghadang dan pemasangan penghadang konkrit bersama geotekstil.
- Kerja nyahkelodak, baik pulih sistem ESCP dan langkah penstabilan diambil bagi kurangkan risiko susulan.
- Laporan awal: hujan lebat, limpahan air, kegagalan lereng, saliran hilir tidak mampu tampung aliran, menyebabkan runtuhan tembok.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menegaskan, siasatan bertujuan mengenal pasti punca kejadian, menilai tahap integriti struktur dan mengesyorkan langkah mitigasi tambahan.
“Sebarang kelemahan dari sudut pelaksanaan, penyeliaan, pematuhan teknikal atau pengurusan tapak mesti dikenal pasti dan ditangani segera. KKR tidak akan berkompromi dalam hal melibatkan keselamatan awam,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Jelasnya lagi, tindakan segera telah dijalankan di lokasi terjejas termasuk kerja pembersihan dan pembukaan papan penghadang di sepanjang Jalan Abang Haji Openg.
Selain itu, pemasangan penghadang konkrit bersama geotekstil serta kerja nyahkelodak dan baik pulih sistem Pelan Kawalan Hakisan dan Sedimentasi (ESCP) turut dilaksana.
“Kesemua langkah itu penting bagi menstabilkan keadaan semasa dan mengurangkan risiko susulan. Keutamaan saya ketika ini ialah keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya.
“Saya memberi jaminan bahawa kementerian saya komited memastikan langkah pemulihan, penstabilan dan pencegahan dilaksana secepat mungkin supaya kejadian seumpama ini tidak berulang,” ujarnya lagi.
Datuk Seri Alexander turut menggesa semua pihak terlibat projek berkaitan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan mematuhi semua arahan teknikal yang dikeluarkan.
Pihaknya akan terus membuat pemantauan dan memastikan tindakan susulan diambil secara telus, bertanggungjawab dan berfokus kepada keselamatan rakyat.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, berdasarkan laporan awal, kejadian berpunca daripada hujan lebat antara jam 3.30 petang hingga 5.30 petang yang menyebabkan limpahan air dari tapak projek.
“Pemerhatian awal mendapati kapasiti air dari kawasan bukit yang tinggi telah menyebabkan ban tanah pecah sebelum air mengalir ke perangkap kelodak.
“Dalam masa sama, sistem saliran awam di bahagian hilir tidak dapat menampung aliran tersebut dengan berkesan, selain terdapat halangan utiliti di beberapa lokasi,” jelasnya.
Keadaan itu mengakibatkan air bertakung dan melimpah ke jalan awam, sekali gus memberi tekanan kepada tembok penahan sedia ada sehingga sebahagiannya runtuh bersama papan penghadang.