PUTRAJAYA 16 Oktober- Ibu bapa digalakkan lebih tegas serta berperanan aktif dalam mengawasi penggunaan media sosial serta permainan dalam talian anak-anak.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (Kasih Malaysia), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata pemantauan berterusan amat diperlukan bagi memastikan generasi muda tidak terjebak dengan pengaruh negatif di platform digital.
“Kita baru sahaja dikejutkan dengan beberapa kes yang melibatkan pelajar sekolah. Kes rogol dan rakamannya disebarkan serta kes bunuh, yang mangsa ditikam berkali-kali oleh pelakunya.
“Bermula dari sekarang, buatlah pemantauan terhadap anak-anak anda terutamanya dunia mereka di media sosial atau permainan dalam talian. Awasi mereka, berikanlah lebih perhatian kepada mereka. Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah turut menyuarakan kebimbangan Seri Paduka Baginda terhadap kesan media sosial ini," kata Datuk Seri Dr. Wan Azizah, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Pensijilan dan PsyQiQ Plus Open University Malaysia (OUM), di sini.
Tambah Datuk Seri Dr. Wan Azizah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan komitmen untuk mengambil tindakan tegas terhadap isu penggunaan media sosial.
Sementara itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan keperluan untuk memperkukuh penyediaan perkhidmatan sokongan psikososial yang lebih menyeluruh, mudah dicapai dan responsif bagi memastikan rakyat Malaysia dapat memperoleh bantuan kesihatan mental dengan segera.
Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), hampir 30 peratus rakyat dewasa di negara ini mengalami simptom tekanan, keresahan atau kemurungan pada 2023.
“Kita mahu supaya saluran untuk mendapatkan bantuan ini mudah diakses, di hujung jari sahaja. Saya percaya isu kesihatan mental ini memerlukan pendekatan yang lebih spesifik, dengan kemahiran yang unik dan latihan-latihan daripada badan-badan yang sah,” katanya.
Pada majlis sama, Universiti Terbuka Malaysia (OUM) turut memperkenalkan empat program pensijilan baharu, iaitu Sijil Asas Kaunseling, Sijil Profesional Kaunseling Kesihatan Mental, Sijil Profesional Psikologi serta Sijil Pengajian Islam Lanjutan.
Selain itu, OUM juga membangunkan aplikasi berasaskan web bagi melaksanakan program pemprofilan psikometrik terhadap pelajar, sebagai usaha memperkukuh sokongan psikososial di institusi pendidikan.
Turut hadir, Presiden merangkap Naib Canselor OUM, Profesor Dr. Ahmad Izanee Awang.