KUALA LUMPUR, 9 September - Hutang isi rumah negara kekal terkawal dengan jumlah RM1.65 trilion atau 84.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga Mac 2025.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying memaklumkan, kedudukan hutang isi rumah perlu dilihat secara holistik memandangkan aset kewangan isi rumah jauh lebih besar iaitu RM3.44 trilion dalam tempoh yang sama.
"Secara agregat, aset kewangan isi rumah kekal melebihi hutang sebanyak 2.1 kali sekaligus menyediakan penampan kewangan yang kukuh kepada isi rumah", katanya ketika menjawab soalan Musoddak Ahmad di Dewan Negara.
Lim menjelaskan, pinjaman oleh institusi kewangan termasuk bank digital masih tertakluk kepada dasar pembiayaan bertanggungjawab Bank Negara Malaysia (BNM) dengan median Nisbah Khidmat Hutang (DSR) terkawal pada paras 34%.
Pada masa sama, Dewan Negara turut meluluskan Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) yang bakal mempertingkatkan perlindungan pengguna dengan mengawal selia penyedia kredit bukan bank serta perkhidmatan kredit dalam talian termasuk skim Buy Now Pay Later (BNPL).
Kerajaan turut memperkukuh usaha membantu pengguna yang berdepan masalah kewangan menerusi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang setakat ini telah membantu lebih 64,000 peminjam menyelesaikan pinjaman sepenuhnya.
Manakala 270,000 lagi sedang aktif mengikuti program pemulihan kewangan.