KUALA LUMPUR, 27 November - Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan kategori bahaya bagi lima negeri sehingga Sabtu ini.
Ia melibatkan negeri Terengganu, Pahang, Selangor, Putrajaya dan Negeri Sembilan.
"Hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di negeri Terengganu (Kemaman), Pahang (Maran, Kuantan dan Pekan), Selangor (Klang, Kuala Langat dan Sepang) ,Putrajaya, Negeri Sembilan (Seremban dan Port Dickson)," menurut kenyataan agensi cuaca itu berdasarkan kemas kini setakat 10:00 malam.
Met Malaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk bagi negeri Perak, Terengganu, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur serta Negeri Sembilan, selain Melaka dan Johor.
"Hujan lebat berterusan dijangka berlaku di negeri Perak (Manjung,Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim); Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun); dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Bera dan Rompin).
"Manakala di Selangor melibatkan (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat); Kuala Lumpur; Negeri Sembilan (Jelebu, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin); Melaka dan di Johor jangkaan cuaca dikeluarkan di Tangkak, Segamat dan Muar," tambah kenyataan Met Malaysia.
Sementara itu, hujan berterusan tahap waspada dijangka melibatkan negeri Kedah (Kulim dan Bandar Baharu); Pulau Pinang; Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar) serta seluruh Kelantan.
Di Johor, jangkaan cuaca sama dikeluarkan bagi daerah di Batu Pahat, Kluang dan Mersing.