Hubungan erat Negeri-Persekutuan perkukuh ekonomi, kesejahteraan rakyat

Pengarah Strategi Kumpulan KRA, Amir Fareed Rahim / Foto RTM

ANGKASAPURI KOTA MEDIA, 14 Julai – Kerajaan Negeri Johor perlu menjalinkan hubungan erat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan segala agenda pembangunan menerusi dasar dan manifesto yang dijanjikan semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dapat direalisasikan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Johor kekal pemacu ekonomi utama negara serta destinasi pelaburan, menyokong pertumbuhan dan peluang pekerjaan.
  • Kerjasama padu antara kerajaan negeri dan persekutuan penting untuk memacu Maju Johor 2030 dan pembangunan mampan.
  • Kestabilan politik meningkatkan keyakinan pelabur, membuka lebih banyak peluang ekonomi untuk kesejahteraan rakyat.

Pengarah Strategi Kumpulan KRA, Amir Fareed Rahim berpandangan, hubungan yang lebih positif pasca PRN mampu memperkukuhkan kedudukan ekonomi, sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat negeri berkenaan.

“Apabila berakhir musim pilihan raya, fokus kini untuk kembali bekerja. Justeru, saya rasa perlu dimanfaatkan hubungan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan semua janji ketika pilihan raya dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Apa makna mandat yang besar jika tidak dapat mengangkat kesejahteraan rakyat,” katanya.

Tambah beliau, Johor kekal menjadi antara pemacu ekonomi utama negara dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang memberangsangkan, serta destinasi utama pelaburan.

Bagaimanapun katanya, segala pencapaian tersebut penting untuk diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat secara menyeluruh.

“Kerjasama padu antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan penting bagi memperkukuhkan pelaksanaan agenda Maju Johor 2030 serta memastikan pembangunan negeri terus dipacu secara mampan,” ujar beliau lagi.

Amir turut memberi penekanan supaya segala usaha pembangunan perlu berteraskan kepentingan rakyat agar kemajuan ekonomi negeri dapat dirasai secara menyeluruh, dan menjadi asas kepada pembangunan Johor yang lebih maju.

Sementara itu, Amir berkata kestabilan politik di Johor ketika ini turut memberi keyakinan kepada para pelabur untuk terus melabur sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.