fb fb fb fb fb

HTA rai 12 bayi pada Hari Kebangsaan

Dr. Shamsul Anuar Kamarudin

KUALA LUMPUR, 31 Ogos - Hospital Tunku Azizah (HTA) meraikan 12 kelahiran bayi pada Hari Kebangsaan ke-68 dengan bayi pertama lahir pada pukul 12.10 tengah malam.

Pengarah HTA, Dr. Shamsul Anuar Kamarudin berkata, daripada jumlah itu empat merupakan bayi lelaki dan lapan bayi perempuan.

"Kesemua ibu dan bayi berada dalam keadaan sihat dan stabil. Kelahiran bayi Merdeka ini amat bermakna kerana ia seiring dengan semangat kemerdekaan negara.

"Jadi ibu-ibu yang melahirkan anak pada tarikh ini, kita raikan sebagai Bayi Merdeka. Malah, sambutan ini menjadi rutin tahunan yang dilaksanakan oleh Jabatan Obstetrik dan Ginekologi HTA," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Bayi Merdeka 2025 di Hospital Tunku Azizah (HTA) di ibu negara.

Beliau turut memaklumkan bahawa dari tahun 2022 hingga 2024 sahaja, sebanyak 80 kelahiran berlaku pada tarikh keramat 31 Ogos.

Sementara itu, Nur Hidayah Sadik, 24, dia tidak pernah menyangka bayinya akan lahir pada tarikh 31 Ogos yang juga merupakan tarikh bersejarah buat negara.

"Syukur alhamdulillah, tak sangka anak sulung perempuan saya lahir tepat pada Hari Kebangsaan. Sekiranya ikut tarikh, bayi saya akan lahir pada September. Kehadiran bayi ini memberi makna kepada keluarga," katanya.

Sementara itu Nur Mazlinda Marwazi, 30, meluahkan rasa syukur dengan kelahiran anak keempatnya yang merupakan bayi lelaki.

Bagi suri rumah, Lim Lee Yun, 26, dia turut meluahkan rasa gembira kerana berjaya melahirkan anak perempuan keduanya pada pukul 12.10 tengah malam tadi yang merupakan kelahiran pertama di HTA pada 31 Ogos 2025.

Pada majlis itu turut diadakan penyampaian sumbangan daripada pelbagai agensi berupa barangan bayi dan baucar tunai kepada keluarga, manakala sumbangan makanan diberikan kepada petugas sebagai tanda penghargaan.

Dr Shamsul turut merakam ucapan terima kasih kepada seluruh warga kerja HTA yang sentiasa komited, serta berharap hospital itu terus memberikan perkhidmatan terbaik dan selamat untuk wanita serta kanak-kanak.

Di Terengganu, seramai 27 bayi dilahirkan pada Hari Kebangsaan negara ke-68 hari ini.

Daripada jumlah tersebut, 18 merupakan bayi lelaki dan sembilan bayi perempuan selamat dilahirkan di seluruh negeri itu sejak pukul 12.00 tengah malam hingga 11.00 pagi tadi.

Bayi pertama adalah anak pasangan Mohd Fairuz Rizuan Abd Khalid dan Natasha Ngah; seorang bayi lelaki seberat 2.1 kilogram yang dilahirkan pukul 12.01 tengah malam tadi.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, kesemua bayi yang dilahirkan pada tarikh itu menerima hadiah istimewa daripada beberapa pihak.

Ia termasuk Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Terengganu dan Coop Bank.

"Alhamudlilah kesemua 27 bayi ini berada dalam keadaan sihat," katanya ketika ditemui pemberita selepas meraikan kelahiran bayi merdeka di Pusat Rawatan Ibu dan Anak (PRIBA) Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu (HSNZ) Kuala Terengganu.

Sementara itu Natasha Ngah@Mokhtar yang ditemui pemberita menyatakan rasa teruja dengan kelahiran bayinya.

"Harapan saya semoga anak ini menjadi harapan kepada bangsa dan negara. Macam kebetulan semua anak saya lahir pada tarikh istimewa, anak pertama lahir pada Tahun Baharu, anak kedua lahir pada tahun lompat," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI