fb fb fb fb fb

HSN 2024 : Rakyat Malaysia di Tehran buat aktiviti mendaki

Diaspora Malaysia bersama-sama kakitangan kedutaan mengadakan pendakian ke stesen kedua kompleks Tochal di Velenjak, utara Tehran

KUALA LUMPUR, 12 Oktober- Hari Sukan Negara (HSN) tahun ini turut diraikan rakyat Malaysia di Tehran dengan cara yang unik.

Diaspora Malaysia bersama-sama kakitangan kedutaan mengadakan pendakian di kawasan pemandangan indah untuk mengukuhkan hubungan komuniti dan perpaduan.

Kedutaan Malaysia di Tehran berkata, pendakian ke stesen kedua kompleks Tochal di Velenjak, utara Tehran dilakukan dengan jarak pusingan lapan kilometer pada Jumaat.

"Pendakian dipilih kerana ia melambangkan aktiviti budaya bersama antara rakyat Malaysia dan Iran.

"Kedutaan berhasrat untuk menghayati tradisi Iran yang kaya serta mempromosikan kecergasan fizikal, selaras dengan usaha Malaysia untuk menggalakkan gaya hidup sihat," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Iran Khairi Omar menekankan kepentingan acara sebegini dalam memupuk semangat perpaduan dan kesejahteraan dalam kalangan rakyat Malaysia di luar negara.

"Kami berbangga melihat ramai peserta, termasuk kakitangan dan keluarga mereka, berkumpul dalam semangat Hari Sukan Negara.

"Acara mendaki ini adalah peringatan yang penting dan tepat pada masanya tentang kepentingan kesihatan, kerjasama berpasukan, dan mengekalkan hubungan komuniti yang kukuh walaupun ketika kami berjauhan dari tanah air," katanya.

Dalam pada itu kedutaan turut berharap menganjurkan lebih banyak acara melibatkan komuniti Malaysia di Iran selain mempromosikan gaya hidup sihat, dan mendekatkan rakyat Iran dan Malaysia.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI