fb fb fb fb fb

HRM anggota bomba dalam penelitian JPA - KPPA

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz/BERNAMA

KUALA PILAH, 26 April- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan meneliti dengan lebih lanjut berkaitan pelaksanaan hari rehat mingguan (HRM) untuk anggota bomba dalam masa terdekat.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata JPA telah menerima berkenaan cadangan tersebut dan akan mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi membincangkan isu berkenaan.

"Jadi, sekarang ini perkara itu baru sampai kepada JPA. Saya akan teliti dengan lebih lanjut, adakan libat urus dengan pihak-pihak mereka.

Kita akan tengok keputusannya bagaimana. Kita cuba dalam masa yang terdekat ini, mungkin dalam sebulan atau dua bulan," kata Tan Sri Wan Ahmad Dahlan kepada pemberita, hari ini.

Ujarnya, dalam melaksanakan sesuatu dasar baharu, pihaknya perlu mengadakan penelitian terlebih sebelum sesuatu pembaharuan itu dilaksanakan.

Beliau berkata demikian pada majlis Peluncuran Kampung Angkat Madani, Sekolah Angkat Madani dan Sambutan Raya Madani Bersama Penduduk Kampung Seri Menanti, di sini.

Sementara itu, pihaknya juga menasihatkan penjawat awam agar lebih berhati-hati dalam isu yang melibatkan sensitiviti kepada negara seperti Jalur Gemilang serta perkara yang berkaitan 3R iaitu agama, bangsa dan institusi raja.

"Nasihat saya kepada penjawat awam supaya kita lebih berhati-hati apabila melibatkan perkara-perkara yang ada sensitiviti kepada negara kita. Antaranya bendera Jalur Gemilang atau pun perkara yang menyentuh perkara perkara 3R kerana ini pasti akan berlaku satu keadaan di mana banyak pihak tidak berpuas hati.

Sebagai contoh, bendera bendera merupakan satu kemegahan kepada kita yang patut kita julang, kita jaga dengan sebaik mungkin. Saya minta semua penjawat awam supaya berhati-hati melakukan perkara seperti ini supaya ia tidak berlaku pada masa hadapan," tambahnya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM