KUALA LUMPUR, 30 Mac - Semua pihak diseru supaya berhenti dan sentiasa berwaspada dalam mengeluarkan sebarang komen atau pendapat yang boleh mencetus ketegangan serta merosakkan keharmonian masyarakat dalam negara yang berbilang kaum.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata, setiap pandangan perlu dipastikan berdasarkan fakta yang betul terlebih dahulu dan bukannya dilontarkan sewenang-wenangnya yang hanya akan ‘menyimbah minyak ke dalam api yang membara’.
“Kalau inilah cara kita bertindak, amat berbahaya. Sebab itu, berlaku adillah pada diri dan masyarakat. Pastikan fakta yang betul terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada Program Bantuan Beras Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) kepada 3,333 asnaf sempena Aidilfitri di Maahad Tahfiz Al-Faridiyah di Taman Seri Rampai, Setapak, di sini.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Presiden PRESMA Datuk Jawahar Ali Taib Khan.