fb fb fb fb fb

'Hari ini saya kerja' - Anwar

(Anwar memulakan tugas rasmi sebagai Perdana Menteri hari ini/BERNAMA)

PUTRAJAYA, 25 November- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Bangunan Perdana Putra, di sini bagi memulakan tugasnya secara rasmi di Pejabat Perdana Menteri, pagi tadi.

Ketibaan Anwar di sini pada pukul 9.00 pagi disambut oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sollehuddin Alyubi Zakaria.

Turut hadir pada sesi itu ialah Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Perdana Menteri kemudian diiringi pegawai-pegawai kanan kerajaan ke mesin pengimbas kad perakam waktu sebagai tanda bermulanya tugas beliau sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Sejurus selesai mengimbas kad perakam waktu, Anwar terus bergerak ke ruang pejabat Perdana Menteri untuk menandatangani buku selamat datang dan selamat bertugas.

Terdahulu, Anwar yang mengenakan baju Melayu berwarna merah jambu sempat menyapa petugas media yang berkumpul di luar rumahnya sejak awal pagi tadi.

"Hari ini saya kerja," kata Perdana Menteri ringkas sebelum meninggalkan kediaman pada pukul 9.28 pagi.

Isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut kelihatan sedang menemani Anwar sebelum menjalani hari pertamanya sebagai Perdana Menteri.

Semalam, Anwar, 75, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

(Anwar mengimbas kad perakam waktu pada mesin elektronik pada hari pertama beliau
memulakan tugas di pejabatnya di Perdana Putra/BERNAMA) 

Media Baharu